1 Muharam 1400
20 November 1979
Hari ini kelihatan biasa seperti hari-hari yang lain di kota
suci Makkah. Azan subuh berkumandang dan beratus-ratus malah beribu-ribu Jemaah mula berkumpul di
hadapan pintu untuk masuk ke dalam Masjidil Haram untuk menunaikan solat
fardhu subuh .
Akan tetapi, hari ini bakal menjadi hari Hitam didalam
sejarah Ummah ini.
Hari ini pada ketika ianya bermula kelihatan biasa sahaja,
tetapi pada ketika ianya berakhir, Ummah bakal menyaksikan sesuatu perkara yang
mereka tidak pernah saksikan sebelum ini.
Hari ini, 20 haribulan November 1979 bersamaan 1 Muharram
1400 hijrah. Betul-betul 38 tahun tahun yang lalu.
Sheikh Muhammad Ibn Subayil mengimamkan solat pada tahun 2004 |
Usai memberi salam solat subuh oleh Imam pagi itu Sheikh
Muhammad Ibn Subayil ( beliau masih lagi salah seorang Imam Masjidil Haram di
ketika ini ), tiba-tiba kedengaran beberapa das tembakan di dalam masjid dan kekecohan dapat dilihat di saf pertama.
Seorang lelaki bingkas dan merampas mikrofon yang Imam subaiyyid sedang
gunakan.
Beberapa orang lelaki juga turut bangun dan memegang pengawal-pengawal
Sheikh Subayil yang memang bertugas
mengelilingi beliau.
Setelah situasi berada di bawah kawalan mereka, lelaki
yang telah merampas mikrofon tadi mula berucap. Dia mula bercakap tentang
kerosakkan yang sedang berlaku di dalam negeri ini, tentang kefasikkan rejim
yang sedang memerintah sekarang iaitu Bani Saud. Lelaki ini juga bercakap
mengenai kejahatan-kejahatan yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat dan
banyak lagi tanda-tanda hari kiamat yang telah diisyaratkan atau diramalkan
telah terjadi satu persatu di hadapan mata ketika itu.
Kemudian lelaki ini menyebut tentang Rasulullah SAW telah
berkata bahawa akan muncul Mujaddid atau pembaharu kepada agama ini pada setiap
100 tahun. Dan lihatlah, hari ini merupakan 1 muharram tahun 1400, permulaan
kurun yang baru.
Dia menambah lagi dengan membacakan hadith mengenai Al
Mahdi. Seorang tokoh yang akan muncul di akhir zaman ketika dunia ini dipenuhi
oleh ketidak adilan dan kejahatan seperti keadaannya sekarang ini ( 1979 ).
“ Kini Mahdi ada
dikalangan kita” kata lelaki itu.
Dia memanggil seorang lelaki di dalam saf di kalangan Jemaah
untuk berdiri dan dia berkata,
“ Wahai kaum muslimin, inilah Mahdi, berilah bai’ah kamu
kepada dia!”
Aku tidak mengada-adakan cerita ini, kalian boleh google
fakta ini.
Dia berkata “ Berikan sumpah taat setia kepada lelaki ini
…. Dia adalah Mahdi”
Dan lelaki tersebut yang namanya ialah Muhammad bin
Abdullah dari suku Qahtan yang merupakan puak asli dari bangsa Quraisy berdiri
di situ.
Manakala lelaki yang dari tadi bercakap kepada Jemaah itu
ialah Juhayman bin Saif Al Utaybi
Juhayman . Sumber gambar dari Internet |
Juhayman yang
merupakan perancang kepada insiden ini mengarahkan semua muslim yang berada di
dalam Masjidil Haram bahawa lelaki ini adalah Mahdi, berikan bai’ah kamu
kepadanya.
“Lihatlah kalian, dia sedang berdiri diantara Rukun dan
dan Maqam, diantara Hajar Aswad batu hitam itu dan Maqam Ibrahim sepertimana
apa yang Rasulullah SAW telah sebutkan
bahawa kelak Mahdi itu akan berdiri diantara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim.
dan nama nya ialah Muhammad seperti yang Nabi SAW
sebutkan tentang ciri-ciri Mahdi
dan nama bapanya ialah Abdullah, seperti yang Nabi SAW
telah sebutkan tentang ciri-ciri Mahdi
Malah dia adalah dari puak Quraisy, juga seperti yang
Nabi SAW telah sebutkan.
Semua ciri-ciri Mahdi yang Rasulullah SAW telah sebutkan
ada pada lelaki ini, jadi sekarang berbai’ahlah kamu kepada dia sekarang”
Sementara itu kaum Muslim yang berada di dalam
MasjidilHaram ketika itu kebanyakkannya tidak faham bahasa arab, mereka kebingungan cuba memahamkan apa yang sedang
berlaku.
Bagi mereka yang memahami bahasa arab juga turut bingung cuba
memproses kejadian ini.
Kedengaran bunyi tembakan di luar. Ketika mereka cuba
meninggalkan Masjid dalam kekecohan itu, mereka dapati pintu-pintu
masjidilharam telah ditutup dan dihalang.
Dan pada setiap pintu masjid mereka dapati pengawal
bersenjata, bukannya pengawal masjidilharam tetapi anggota kumpulan si Juhayman
Al utaybi yang mengawalnya.
Dan untuk tempoh seminggu setengah , Kaabah telah
dijadikan tawanan dan tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ataupun keluar.
Sehinggalah pada hari ke empat, kumpulan Juhayman
melepaskan Jemaah yang tidak mahu untuk berada disitu untuk pergi kerana mereka
tidak mempunyai makanan untuk diberikan kepada tawanan yang kelaparan.
Anggota Gerak Khas dari Pakistan bersama Kurma yang menjadi bekalan makanan kumpulan Juhayman. |
Menurut sebahagian ahli sejarah,tentera Juhayman ini
adalah seramai 200 orang manakala sebahagian yang lain pula mengatakan mereka
terdiri daripada 1000 orang.
Jika kita merujuk di dalam Wikipedia, disebut disana
mereka seramai 300 ke 400 orang akan tetapi Wikipedia yang sama bercanggah
dalam perkiraan mereka, jika kita kira jumlah yang terbunuh dan yang telah
ditangkap jumlahnya ialah sekitar 250 orang. Beberapa akhbar juga melaporkan
jumlah mereka ialah 1000 orang.
Wallahualam, aku tidak tahu sebenarnya berapa ramaikah
jumlah mereka. Akan tetapi jumlah orang dalam kumpulan yang telah menjadikan
Kaabah sebagai tawanan tersebut bolehlah dikira satu jumlah yang ramai.
Dan ketika itu, kumpulan ini telah tidak membenarkan
mana-mana Muslim untuk masuk menunaikan solat ataupun tawaf.
Disepanjang krisis terebut, tawaf mengelilingi Kaabah telah
terhenti, azan begitu juga dan solat berjemaah yang menjadi amalan muslimin
juga telah terhenti di dalam Masjidil haram.
Perkara sebegini tidak pernah berlaku
didalam sejarah ummah ini.
Kejadian ini masih terlalu baru berlaku, hanya 38 tahun
yang lalu. Bayangkan, hanya 38 tahun lalu dan kebanyakkan kita tidak pernah
mendengar pun mengenai kejadia ini.
Subhanallah.
Ketika subuh 20 November 1979 beralih ke waktu Zuhur,
polis dan tentera Saudi masih tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Mereka
tidak dapat memastikannya. Ini merupakan kali pertama mereka berhadapan dengan tindakan keganasan.
Dan mereka mengambil masa hampir 24 jam hanya untuk
memproses situasi kejadian di dalam masjidil haram bahawa seorang Mahdi
telah mengambil alih Kaabah.
Ketika polis dan tentera cuba memasuki masjidil haram,
mereka dapati Juhayman telah menempatkan penembak hendap di atas menara masjid.
Ya diatas menara masjid yang sama kita lihat hari ini.
Gambar hiasan |
Strukturnya masih tidak berubah. Itulah menara yang sama
dimana penembak-penembak hendap Juhayman telah berdiri. Memang secara
harfiahnya darah telah ditumpahkan didalam rumah Allah.
Mungkin kita bertanya bagaimana kumpulan ini membawa
masuk senjata-senjata mereka ke dalam Masjidil Haram? Apa yang Juhayman telah
aturkan ialah mereka menyeludup masuk senjata-senjata ini dengan menyamar
sebagai jenazah. Beginilah caranya senjata itu diseludup masuk.
Semuanya telah dikumpulkan di suatu tempat dan sebaik
sahaja selesai solat subuh, mereka mendapatkan senjata tersebut dengan segera
dan mengambil posisi masing-masing seperti yang telah dirancangkan.
Pendekkan cerita, mereka menuntut beberapa perkara dan tuntutan yang paling utama mereka ialah
keluarga Saud menyerahkan kuasa mereka dan turun dari tahta pemerintahan yang
mana kita tahu perkara tersebut takkan berlaku.
Sementara itu, para ulama mengeluarkan fatwa bahawa ini
pastinya bukan Mahdi. Akan tetapi bukan seluruh ulama mengeluarkan fatwa ini!
Ramai daripada ulama-ulama besar menahan diri daripada mengeluarkan apa-apa
fatwa.
Mereka berkata “ Jikalau ini betul-betul Mahdi, aku tidak mahu
menanggung fatwa menentangnya diatas bahu ku”
Subhanallah! Betapa Juhayman ini telah Berjaya
memperdayakan umat bahkan para ulama. Memang ketara sekali bahawa sesiapa juga
akan keliru.
Namanya Muhammad, bapanya Abdullah, dia berdiri di antara Rukun
dan Maqam Ibrahim hinggakan beberapa orang ulama besar yang dihormati di abad
ke 20 ini juga turut terpedaya menganggap lelaki ini MUNGKIN… ya.. MUNGKIN Al
Mahdi.
Ini memang menakutkan.
Tapi kita tahu, Mahdi yang sebenar tidak akan menjadikan
Makkah sebagai tebusan. Mahdi sebenar merupakan lelaki terbaik pada zamannya
akan tetapi Mahdi palsu ini bukan sahaja telah menumpahkan darah di dalam Al
Haram, tetapi juga di dalam bulan Muharam yang mana berperang adalah Haram
didalamnya.
Putera Fahd telah mengarahkan angkatan tenteranya yang
juga disertai oleh komando dari Pakistan berangkat ke sebuah tempat di Syria
bernama Baida’ untuk memastikan samada ini adalah Mahdi yang sebenar ataupun
bukan. Ini berdasarkan hadis nabi bahawa Allah akan tenggelamkan tentera yang
menyerang Al Mahdi di Baida’.
".....Setelah itu
as-Sufyani mengerahkan sebahagian tenteranya (pergi menyerang) Madinah. Mereka
terus menyerang Madinah selama tiga hari lalu menuju ke Makkah. Ketika mereka
sampai di al-Baidak, Allah memerintahkan Jibril supaya menghentakkan kakinya
dengan sekali hentakan, yang mana dengan hentakan itu, mereka jadi terbenam ke
dalam bumi sehingga tidak berbaki melainkan dua orang yang kemudian
menyampaikan (perihal) peristiwa tersebut kepada as-Sufyani."
Setelah
mendapati tiada apa-apa yang berlaku ke atas angkatan tentera ini ketika mereka
di Baida’, rancangan menyerang kumpulan Juhayman dan mendapatkan kembali Masjidil Haram pun di rangka.
Ini pastinya
bukan Mahdi yang di tunggu dan ramai ulama memberikan fatwa menentangnya dan juga fatwa
membenarkan kekerasan boleh digunakan terhadap kumpulan ini juga telah turut
serta dikeluarkan.
Maka pada hari ke Sembilan, angkatan Saudi merempuh pintu
Masjidil haram dengan kereta kebal. Tangga yang sama kita gunakan hari ini, itu
lah juga tangga dimana kereta kebal pernah lalu diatasnya pada suatu masa
dahulu.
Pasukan Saudi memasuki Masjidil Haram ( Sumber gmbar dari Internet ) |
Dan pertempuran benar-benar telah berlaku didalam dinding Al
Haram yang sama pada hari ini.
Dan Mahdi Muhammad ibn Abdillah Al Qahtany telah mati ditembak
dalam pertempuran ini membuktikan yang dia bukanlah Mahdi yang sebenarnya.
Subhanallah, semoga Allah mengasihani kita dan melindungi
kita daripada fitnah ini.
Juhayman dan kumpulannya telah berlindung di bahagian
bawah tanah Masjidil Haram. Hari ini jika kita daripada Kaabah dan mahu naik ke
tingkat atas, betul-betul di tangga naik keatas kita akan jumpa satu lagi
tangga untuk turun ke bahagian bawah tanah dan tangga ini merupakan
satu-satunya laluan untuk turun ke bawah. Jadi Juhayman dan tenteranya berlindung
disana dan mempunyai kelebihan taktikal kerana hanya ada satu sahaja laluan
masuk, jadi sekiranya angkatan Saudi masuk mereka akan melepaskan tembakan
kepada angkatan Saudi. Ini strategi Juhayman.
Sumber gambar dari Internet. |
Taktik yang angkatan Saudi gunakan pula ialah mereka
membakar tayar untuk melemaskan Juhayman dan tenteranya di dalam masjid dengan
asap. Menurut beberapa sumber, taktik ini adalah nasihat dari penasihat ketenteraan Perancis yang mana terdapat 3 orang anggota Gerak Khas perancis turut serta di dalam pasukan Saudi. Akan tetapi kaedah ini tidak berjaya.
Sumber gambar dari Internet. |
Penasihat Ketenteraan Perancis bersama Komander Saudi. |
Ketika ini Komando Pakistan pula mengetuai operasi.Akhirnya taktik kedua yang telah membawa kejayaan kepada
angkatan Saudi. Mereka telah mengisi
bahagian bawah tersebut dengan air dan telah merenjat angkatan Juhayman dengan
arus elektrik.
Ramai dari mereka yang telah mati dan Juhayman sendiri beserta 70
orang lagi bersamanya telah ditangkap. Mereka telah menyerah diri dan hari ini
ada video youtube mengenai mereka ini. Video dimana mereka berjalan keluar dari
Masjidil haram dan juga video mereka menjalani hukuman.
Kesemua daripada mereka telah dihukum dihadapan umum.
Aku ingin menceritakan cebisan daripada sejarah ini
kepada kamu, Subhanallah ianya belum pun sampai 40 tahun lalu. Cuba fikirkan,
kita lebih tahu tentang apa berlaku di Hiroshima pada 70 tahun yang lalu
berbanding apa yang telah berlaku di Al Haram 38 tahun lalu.
Jadi, Ingin aku akhiri kisah ini dengan kata-kata ini,
mungkin bukan mudah untuk kau terima tetapi ini merupakan satu amaran untuk
kita semua.
Salah seorang dari Ulama awal bernama Sufiyan bin Unaynah.
Beliau merupakan Tabi’ tabi’ut Tabi’in. Beliau pernah ditanya,
“Adakah Imam Mahdi itu di waktu ini?”
Dan soalan ini merupakan soalan yang sangat penting pada
zaman kita ini kerana kita lihat ramai orang membincangkan tentang Imam Mahdi .
Sebab utama aku tulis artikel ini adalah kerana aku lihat komen seseorang di
dalam Facebook yang mengatakan dia tahu Imam Mahdi yang sebenar . Secara
tepatnya di dalam page yang menceritakan tanda-tanda kiamat yang telah berlaku
di abad ini.
Apakah jawapan
ulama ini Sufiyan bin Unaynah ini ketika
ditanya, “Adakah Imam Mahdi di waktu ini?”
Aku sangat berharap orang-orang Juhayman terfikirkan
perkara ini sekali dalam hidup mereka dan aku juga ber harap kita juga merenung
perkara ini secara serius.
Sheikh Sufyan Ibn Unaynah berkata,
“ Sekiranya Mahdi melintas di depan rumah kamu” dia
bercakap tentang Mahdi yang sebenar
“ Sekiranya Mahdi
melintas di depan rumah kamu, kamu kuncilah pintu kamu dan jangan kamu
memberi bai’ah kamu kepada dia
sehinga…….
Sehingga...
Sehingga kamu lihat orang ramai dari kaum muslimin
semuanya telah mengiktiraf bahawa dia itu Mahdi! Maka ketika itu, bersama-samalah
dengan orang ramai dan berikanlah bai’ah
kamu dikalangan muslimin”
Jangan kamu berseorangan.
Dalam Islam tiada Kultus atau sekte dan jangan jadi
pengikut kultus atau sekte.
Kerana bahaya untuk tergelincir dan terpesong adalah sangat besar.
InsyaAllah dalam artikel akan datang, aku akan cuba
kumpulkan seberapa banyak riwayat-riwayat sahih mengenai Imam Mahdi bagi menyanggah yang palsu. Ini kerana
terdapat banyak pendapat-pendapat yang salah mengenai lelaki ini.
Sementara itu, aku mahu bertanya, bagaimana agaknya kau mahu
tentukan bahawa Muhammad bin Abdullah Al Qahtany ini Mahdi palsu?
Mari lihat
jika kau boleh tentukannya sendiri.