Saturday, 9 February 2019

Islam di Malaysia dan sedikit sejarah latar belakangnya.

Kedatangan Islam ke Asia Tenggara sebenarnya tidak boleh kita pencilkan sejarahnya itu daripada sejarah Nusantara. Nusantara itu di kalangan para Sarjana ialah dunia Melayu. Islam telah berada di Nusantara sekitar abad kesembilan dan kesepuluh namun sukar untuk kita nyatakan bila umat Melayu itu secara beramai-ramai menjadi Islam. Tetapi bukti-bukti yang telah ditemui yang berdasarkan arkeologi menunjukkan Islam telah berada di dunia Melayu itu pada sekitar abad ke sembilan.

Apabila kita berbicara tentang Islam dan sejarahnya kita sebagai sebuah warganegara dalam kelompok yang disebutkan sebagai negara Malaysia, harus kita juga mengerti sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia. Professor Dr ahmat Adam menggunakan istilah Nasion dan bukan Bangsa. Bangsa Itu lain. Nasion itu merangkupi bukan sahaja orangnya, juga bahasanya, makanannya, budayanya dan agamanya. Fondasinya telah diletakkan oleh British. Nation building harus kita fahami, apa yang wujud pada hari ini adalah diasaskan oleh British. Dan tiang-tiang fondasi itu ialah bahawa Malaya (pada waktu sebelum merdeka itu)  mestilah bersifat negara yang multi ethnic, Raja-raja Melayu diiktiraf kedudukannya sebagai Raja berpelembagaan, Islam adalah Agama Persekutuan (Religion of the Federation).

Berdasarkan bukti arkeologi,menurut salah seorang dari mereka itu, di Lembah Bujang telah ditemukan tembikar dan kaca dan objek bercorak Islam sekitar abad kesembilan dan kesepuluh. Batu nisan ditemui di Champa. Champa itu asalnya wilayah Kemboja tapi hari ini kerana peristiwa-peristiwa sejarah, Champa kini di bawah Vietnam. Batu nisan Fatimah binti Maimun ditemui di Jawa bertarikh abad ke-11 iaitu tahun 1082. Kemudian di Pasai utara Sumatra ditemui batu nisan Sultan Malikus Saleh, tercatat di situ tahunnya kalau dihitung dalam Masehi ialah 1297 iaitu abad ke13.

Berdasarkan sumber China dan naskah Melayu, iaitu sumber zaman Kublai Khan ada disebutkan kunjungan rombongan daripada Samutura’ (Sumatera). Seorang itu bernama Husin dan seorang lagi bernama Sulaiman pada tahun 1282 dihantar ke negeri China. Ertinya pada abad ke13 itu sudah lebih ramai orang beragama Islam di Sumatera. Kemudian Hikayat raja-raja Pasai (manuskrip Melayu yang lama )menyebut kedatangan Makhdoum daripada Monggiri (ditafsirkan sebagai Bongkir) dari India bahagian timur laut. Kerana itu sebahagian daripada kerajaan Islam waktu Islam bertapak di India. Jadi bukti sejarah menunjukkan bahawa Islam berkembang secara beransur-ansur, ia tersebar sekitar abad ke-12 tetapi menjadi lebih mantap pada abad ke-14 dan abad ke-15. Ertinya abad ke-14 dan 15 itu telah lebih ramai orang di dunia Melayu itu yang memeluk agama Islam.

Berdasarkan naskhah- naskhah Melayu lama, Islam mungkin telah dibawa oleh para sufi iaitu ahli tasauf. Sumber daripada Ibn Batutah sendiri yang melawat Sumatera utara pada tahun 1345 kemudian kembali 1346 juga menunjukkan Islam sudah bertapak kukuh di Sumatera.

Bila pula islam bertapak di Malaysia?

Batu bersurat Kuala berang yang ditemui bertarikh 1326 ataupun 1386. Rekod China pula menyatakan Megat Iskandar syah telah melawat negeri China dan Megat Iskandar ini beragama Islam. Dia merupakan anak Parameswara. Dalam buku teks sejarah disekolah dinyatakan Parameswara itu beragama Islam tapi sebenarnya anaknya yang memeluk Islam. Parameswara mengasaskan melaka pada tahun 1400, dia beragama Hindu kemudian anaknya memeluk Islam dan untuk mengukuhkan keislamannya itu dia telah berkahwin dengan puteri Pasai di Sumatera. Dan di dalam kitab Sejarah Melayu sendiri disebutkan Seri Maharaja itu yang namanya Sultan Muhammad Syah dengan jelas disebutkan dia mengamalkan Islam dan dia didatangi oleh pendakwah islam dan dia bermimpi bertemu dengan nabi Muhammad saw katanya, kemudian dia diajak bersembahyang di pinggir pantai negeri Melaka itu. Dia jika mengikut sumber China namanya Seri Maharaja dan dia memerintah antara 1423 hingga 1444.

Kita juga tahu pada abad ke-15 melaka itu dikunjungi oleh pedagang pedagang Arab, pedagang Parsi, pedagang India, pedagang Habshah (Abyssinia) dan juga pedagang China. Sifatnya Melaka itu ialah kota metropolitan dan pelabuhan internasional. Orang yang datang itu bukan sahaja orang Islam tetapi juga orang Kristian historia dan orang Parsi yang beragama Majusi. Jadi Islam yang datang itu bersifat multi cultural dan international.

Tetapi Melaka sebenarnya oleh kerana makmur, sering dikacau oleh Siam. Siam memang sejak dari zaman Melaka itu sudah mempunyai niat mahu menjajah semenanjung ini sampailah ke abad ke-19. Dan melaka makmur pada zaman awalnya itu justeru kerana kedudukan strategik untuk perdagangan. Ianya terletak di tengah-tengah Selat Melaka dan orang dari Asia Barat iaitu orang Arab dan Parsi, dari India dan dari China datang bertemu di Melaka untuk bertukar barang. Melaka juga menjadi makmur kerana ia mendapat lindungan daripada raja-raja Ming iaitu raja China. Bila siam cuba mengganggu Melaka, Raja China memberi amaran, jangan ganggu Melaka. Dan pada waktu Parameswara dan anaknya memerintah, maharaja China ialah maharaja Yung lo (memerintah 1402 ke 1424) yang dikatakan beragama Islam Tetapi dia beragama Islam secara sembunyi sebab rakyat China itu beragama confucius dan menyembah roh nenek moyang, jadi dia secara sembunyi-sembunyi mengamalkan Islam. Makanannya dikhaskan yang dimasak oleh isterinya sahaja, ini menurut rekod China sendiri.

Untuk menunjukkan bahawa China itu memberi perlindungan kepada Melaka, Parameswara raja pertama Melaka mengunjungi negara China pada tahun 1411. Kemudian anaknya Megat Iskandar syah datang tiga tahun kemudian untuk memberitahu Maharaja China bahawa bapanya telah meninggal dunia. Dan kemudian daripada itu, Seri Maharaja pula mengunjungi negara China pada tahun 1424 dan 1433, dua kali dia mengunjungi China. Sultan terakhir Melaka, Mansur Syah mengunjungi China pada 1499. Ertinya hubungan Melaka dengan negeri China itu sangat rapat sekali. Raja-raja Melaka membawakan hadiah kepada raja China dan raja China membalas dengan hadiah berupa sutera, wang China dan sebagainya dan China menganggap Chinalah yang melindungi Melaka sebagai Raja Besar di wilayah Asia.

Untuk menunjukkan lagi betapa rapatnya hubungan negeri Melaka dengan China juga, kita lihat kunjungan duta Melaka, utusan-utusan diRaja dari Melaka telah pergi ke negeri China sebanyak 28 kali antara 1405 dan 1508. Semua ini berdasarkan bukti-bukti sejarah yang sudah di tapis.

Sejauh manakah Melaka berperanan sebagai pusat Islam?

Orang selalu mengatakan Melaka hebat, keagungan Islam itu terpancar dalam pemerintahan Melaka. Menurut sumber Portugis menyatakan orang Melayu Melaka memang beragama Islam. Sejarah Melayu juga menyebut bahawa kerajaan Melaka menjadi tumpuan dagang dan santri. Santri itu ialah istilah jawa yang bererti orang alim yakni golongan agama. Sejarah Melayu juga menyebutkan raja Melaka belajar ilmu tasauf dari pengajar yang digelar Maulana. Disebutkan wujudnya Masjid Raya dan raja dikatakan berterawih ada adat-adatnya. Misalnya serban dan sejadah raja akan diarak pada sebelah siang hari sebelum raja ke masjid raya pada malamnya kerana raja menyambut malam 27. Raja Melaka juga apabila tidak memahami ajaran guru-guru mereka, sultan mansur misalnya menghantar utusan ke Pasai untuk bertanyakan hal agama. Yang ditanyakan ialah, kalau seorang itu sudah mati, apakah dia kekal di syurga atau di neraka, soalan seperti itu. Dan ini mungkin dipengaruhi oleh aliran tasauf tadi.

Sultan Muhammad Syah dan Sultan Mansur Syah memang orang yang mendekati agama tetapi Sejarah Melayu tidak ada menyebutkan kewujudan sekolah pondok atau madrasah atau bagaimana anak-anak Melayu Melaka itu belajar agama. Didalam lipatan sejarah juga melihatkan Melaka tidak ada meninggalkan apa-apa karya agama dan jugak ulama-ulama. Dua-dua ini tiada. Siapa ulama besar Melaka? Ini kalau kita bandingkan dengan Acheh apabila Acheh mengambil alih kedudukan Melaka sebagai kerajaan Melayu Islam, pada abad ke-16 dan 17 dibuktikan terdapat ulama-ulama besar seperti Hamzah Fansuri, Shamsudin al Sumatrai, Nurudin ar raniri (dari Indla) dan Abdul Rauf al Singkili merupakan nama-nama besar tetapi di Melaka tidak ada. Benarkah kerajaan Melaka itu sebuah kerajaan yang Islamik?

Ditempat- tempat lain di Nusantara misalnya  kita dapati ulama, orang sufi seperti Sheikh Yusof Mekasar (wafat 1699), Abdul Samad al Falimbani (1789), Sheikh Nawawi al Bantani dari Banten Jawa barat 1888, Sheikh Muhammad Hafiz al Banjari dari Banjar masin, sheikh Daud al fatani dari Pattani. dan semua ulama-ulama besar ini meninggalkan karya dan karya-karya mereka ini beredar di seluruh Nusantara termasuk di negeri-negeri di semenanjung tanah Melayu.

Selepas kejatuhan Melaka 1511, kerajaan Melaka barangkali tidak sempat untuk menjadi kerajaan Islam kerana ia hanya wujud selama 110 tahun sahaja. Penaklukan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan tradisi Islam berpindah ke Johor (lama). Tetapi kesultanan Johor iaitu sultan Mahmud lari ke Johor mati pada 1528 dan digantikan oleh anaknya Sultan Alaudin Riayat syah 2. Tetapi anaknya Alaudin cuba berdamai dengan.Portugis. Acheh yang baru naik dan cuba menampilkan imejnya sebagai sebuah kerajaan Islam sangat marah kepada raja Melayu ini kerana dikira bersubahat dengan Portugis. Maka pada tahun 1564 Johor diserang dan sultannya dilarikan ke Acheh dan dibunuh. Pada 1613 sekali lagi sultan Acheh Sultan Iskandar Muda menyerang Batu Sawar di Johor lama dan memusnahkan Johor kerana Johor berbaik-baik dengan Belanda.

 Acheh yang muncul sebagai sebuah kerajaan yang baru telah menakluki Pasai pada tahun 1524. Kalau sebelum itu Pasai menjadi pusat Islam kini Acheh mengambil alih peranan tersebut. Ia muncul sebagai benteng Islam. Tetapi dibawah rajanya Alaudin Riayat Syah al Qahhar dan Iskandar Muda, Acheh menjadi kuasa yang sangat ditakuti oleh raja-raja Melayu di semenanjung. Sebabnya raja Acheh menyerang negeri  Perak selepas daripada Johor. Permaisuri Perak dilarikan ke Acheh beserta puteranya dan putera itu kemudian dikahwinkan dengan anak raja Acheh dan menjadi raja Acheh dengan gelar Alaudin Mansur Syah. Dibawahnya Acheh sangat prihatin terhadap agama, dia menjadi seorang yang warak. Pada tahun 1613 Johor dimusnahkan, rajanya sultan Alaudin Riayat 3 melarikan diri. Apabila sultan melarikan diri, adiknya raja Abdullah dijadikan sultan Johor oleh sultan Acheh. Dikahwinkan dengan adik sultan Iskandar Muda dan dijadikan sultan Johor. Tetapi raja Abdullah tetap berasa tidak selamat kerana raja-raja Melayu itu sememangnya takut terhadap raja Acheh. Tahun 1617 Pahang diserang dan puteri Pahang dilarikan ke Acheh. Kemudian Iskandar muda mengahwini puteri Pahang itu. 1620 Perak dan Kedah pula diserang .Hubungan Kedah dengan Acheh memang rapat sejak dari awal lagi iaitu dari sejak Pasai lagi. Seorang puteri Kedah dikatakan berkahwin dengan Raja Pasai.

Perlu ditegaskan, bila kita meninjau sejarah tanah air, kita tidak boleh lupakan sejarah sekitarnya sebab berkesinambungan ia sampai ke zaman 1940an. Satu perkara yang orang lupa, banyak pengaruh Acheh di semenanjung ini. Ini kerana berkali-kali Acheh datang dan memerintah untuk satu tempoh yang agak lama. Tapi dia tidak menjajah seperti bangsa-bangsa lain. 1623 Pahang diserang lagi kerana rajanya ingkar perintah Acheh.

Implikasi hubungan Acheh dengan semenanjung Melayu.

Pertama yang masih perlu kajian lagi ialah pengaruh budaya, bahasa dan budaya politik. Perkataan-perkataan Acheh terdapat dalam bahasa Melayu.Contohnya perkataan Gogah digunakan oleh orang Pahang, gogah itu perkataan Acheh yang bererti kelam kabut.Struktur orang besar Perak, sebagai contoh Dato Maharaja Lela, orang tidak tahu bahawa Maharaja lela itu adalah gelar Acheh. Pembahagian seperti orang besar Empat, Orang Besar Lapan dan Orang besar enam belas merupakan pengaruh dari budaya Acheh.

Kemudian, pada sekitar period yang disebutkan tadi, ramai orang Perak yang telah dilarikan ke Acheh. Ada sekitar lima ribu orang mengikut laporan. Implikasi yang besar  yang tidak disebut orang daripada ini ialah pengaruh agama Islamnya. Walaupun Acheh itu memusnah dan menjarah, tetapi kitab-kitab agama dari Acheh, ulama-ulama dari Acheh  dan karya-karya mereka tersebar di semenanjung. Tarekat-tarekat yang berasal dari Acheh telah berkembang di semenanjung.

Melaka, Pulau Pinang dan Johor pada abad ke 17 hingga 18 menyaksikan raja-raja Melayu itu lemah, tidak dapat menangkis kemaraan bangsa dari eropah terutamanya dari Belanda dan Inggeris. Pada tahun 1641 Melaka diambil oleh Belanda .Kemudian pada tahun 1876 Pulau Pinang diambil dengan dibayar pampasan 6000 duit Sepanyol sahaja dari Sultan Kedah dengan janji untuk melindungi Kedah dari serangan Siam. Sultan Johor terakhir mati dibunuh oleh Megat Seri Rama iaitu Marhum mangkat dijulang Sultan Mahmud yang dalam rekod sejarah disebutkan seorang homoseksual. Dia mati pada tahun 1659. Apabila dia mati dibunuh, maka putuslah darah sultan-sultan Melaka. Kemudian Johor menerima bendahara menjadi raja.

Pada akhir abad ke17 dan 18, Bugis pula masuk dan campur tangan dalam krisis raja-raja Melayu yang lemah tadi. Di Kedah, Perak dan di Selangor . Misalnya di Selangor, raja pertamanya ialah orang Bugis iaitu Raja Lumu anak Daeng Celak. Kemudian Raja Haji menjadi Yamtuan Muda Riau menggantikan bapanya. Raja Haji juga cuba menyerang Melaka pada 1784. Dia hampir menang, tapi dia mati ditembak oleh peluru Belanda.

Apakah implikasi pengaruh Bugis? Islam tetap berkembang terutamanya di Riau kerana Bugis itu bertapak di Riau. Kalau dibaca silsilah Melayu dan Bugis, maka akan terdapat bagaimana Raja Ali Haji menceritakan Raja Ahmad di Pulau Penyengat, ulama-ulamanya menulis dan mengembangkan Islam.

Pada abad ke19, British sudah mula masuk. Kemudian kita saksikan  pertumbuhan sekolah-sekolah pondok, Islam berkembang diperingkat rakyat. Keunggulan Islam ditandai dengan kemunculan beberapa nama ulama terkenal tetapi agak lambat hingga abad ke-20. Tidak ramai ulama besar diketahui sebelum itu kecuali Tokku Pulau Manis atau Sheikh Abdul Malik Abdullah yang wafat pada 1776 di Terengganu yang juga mendapat pendidikan awalnya di Acheh sebelum ke Mekah. Ulama-ulama lain di masa kemudiannya seperti Tok Kenali Tuan Guru Haji Muhammad Yusof, Tok Kemuning Sheikh Abdul Hamid, Tok Selohor atau Tuan Guru Haji Rahman Haji Osman.

Peralihan dari abad  19 ke abad 20, di Asia barat berlaku pergolakan pemikiran. Timbul gerakan Pan Islam dalam kalangan ulama dan cendekiawan Islam di Asia barat. Idea-idea reformis Jamaludin Al Afghani dan Muhammad Abduh misalnya sangat mempengaruhi inteligensia di timur tengah sana. Intelektual Rashid Rida dan majalah Al Mannar nya yang diusahakan bersama Abduh sangat kritikal terhadap Khalifah yang dikatakan pada zaman kemudiannya adalah zalim. Reformis Islam juga menggesa perubahan umat melalui pendidikan. Jamaludin Afghani mengajarkan, untuk menentang kolonialisme atau penjajahan, maka pendidikanlah alat untuk memajukan dan memodenkan umat Islam itu.

British mempunyai muslihat untuk membendung pengaruh Pan Islam Modernis ini dengan melaksanakan undang-undang penerbitan. Pada awal abad ke-20, tahun 20an ke 30an, pengaruh dari timur tengah ini, yang menampilkan apa yang disebut sebagai kaum Muda. Kaum Muda ertinya golongan yang mahukan umat Islam itu diberikan pemodenan dari segi pendidikan , diberikan pemahaman jelas mengenai agamanya, membasmi kekolotan iaitu seperti yang ditanggapi oleh golongan Kaum Tua. Ulama-ulama melayu yang terpengaruh itu seperti Sheikh Ahmad Khatib orang Minagkabau di Mekah, dia seorang anti adat, Sheikh Tahir Jalaludin yang kemudiannya melancarkan surat khabar Al Imam,  Sheikh Ahmad Al Hadi, Haji Abbas Taha , Sheikh Muhamad Salim dari Acheh dan beberapa lagi. Surat khabar yang paling penting adalah Al Imam, Neracha, Saudara Al Ikhwan, Suara Benar dan warta Malaya. Datangnya editor-editor dari Indonesia  ke negeri-negeri selat menyaksikan sekali lagi pengaruh dari seberang itu berterusan untuk memajukan pemikiran Islam di tanah melayu.

Akibat daripada pengaruh-pengaruh ini maka tumbuhlah beberapa Madrasah yang terkenal pada abad ke-20 seperti Madrasah Al Mashoor, Madrasah Al Hadi, madrasah al Idrisiah, Maahad al Ihya As Sharif gunung semanggol dan sekolah Diniyah Padang Rengas  yang berasaskan Madrasah Diniyah Padang Panjang. Dan bangkitnya kesedaran pelajar-pelajar untuk menuntut, mereka ini pergi ke India dan Timur Tengah juga ke Sumatera Barat termasuk Burhanudin Al Hilmy, Aisha Ghani, Keris Mas dan  Shamsiah Fakeh . Kemudian gerakan radikal Minangkabau mempengaruhi gerakan kiri di Semenanjung. Lahir pada tahun 1945 dengan pengaruh dari Indonesia ini iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan disokong oleh pelajar-pelajar Madrasah

Selepas itu, di Mesir sendiri terbit Suara Al Azhar yang menanamkan semangat fahaman Melayu Raya iaitu penyatuan Indonesia-Malaysia. Lahirnya gagasan Politik Islam di Minangkabau iaitu Persatuan Muslimin Indonesia. Di Malaya pada tahun 1948, akibat daripada pengaruh Kaum Muda lahir Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin berpendirian anti kolonial dan anti feudal sehinggakan Dato Onn mengungkapkan kata-kata ‘Bahaya dari Gunung Semanggol’. Pada pertengahan 1948, Hizbul Muslimin diharamkan oleh British dengan alasan Hizbul Muslimin berkomplot dengan Komunis dan Ustaz Abu Bakar Al Bakir ketua umum Hizbul Muslimin merupakan antara tujuh orang yang ditahan.
Sebenarnya, pengaruh kaum Muda itu juga menanamkan semangat untuk menubuhkan kesatuan ulama dan ini dicetuskan oleh Syed Sheikh Al Hadi. Syed Sheikh Al Hadi ini seorang yang sangat berjasa kepada Islam moden . Dia seorang reformis yang bergerak di Riau, Singapura, di Melaka dan Pulau Pinang. Pada Ogos 1951 apabila Hizbul Muslimin telah diharamkan, sekumpulan Ulama telah bersidang di Sulaiman Club Kampung Baru untuk mendirikan sebuah Persatuan Ulama. Pada bulan November persatuan itu bertukar nama menjadi sebuah parti Politik iaitu Persatuan Islam se Malaya.

Monday, 20 November 2017

Melayu itu asal dari mana? - Bahagian 1



Setakat dimasa aku ini, kalau ditanya orang melayu ini berasal dari mana, teori yang berada di dalam buku-buku teks banyak berkumpul kepada teori arus perdana iaitu teori ‘Out of Taiwan.’ bahawa orang melayu ini asalnya datang daripada Yunnan dan kemudiannya berhijrah turun ke kawasan kepulauan melayu ini. Dan fakta ini telah dimanipulasi apabila disebut bahawa orang melayu adalah pendatang asing di tanah melayu dan sebagainya kerana mereka ini sebenarnya berasal daripada Taiwan. Dan teori ini adalah teori yang berada diseluruh dunia. Kita tidak boleh nak menyalahkan orang-orang ini kerana orang yang berada di sebelah sana lebih awal bersungguh pada membuat kajian. Kita agak lewat mengkaji topik ini.
Teori kedua mengenai asal usul Melayu pula ialah Teori ‘Out of Sunda Land’ bahawa orang melayu ini asalnya daripada Pentas Sunda disebelah sini dan kemudiannya ada yang berhijrah ke bahagian lebih utara iaitu Taiwan dan Yunnan. Teori out of sundaland ini diketengahkan oleh Stephen Oppenheimer pada hujung  90an.
Kalau kau tanya aku, aku pilih teori yang mana, maka disini aku beritahu setakat ketika ini aku cenderung kepada teori kedua iaitu out of sundaland. Ini kerana data-data dari hasil kajian dalam beberapa bidang lebih menyokong teori ini. Salah satu daripadanya ialah ialah hasil kajian dalam bidang genetik. 
Mari sini aku cerita.

Apa itu DNA?
Sebelum kita memahami lebih lanjut tentang genetik, elok aku terangkan serba sedikit tentang apa itu DNA dan bagaimana DNA ini boleh mengkodkan semua maklumat-maklumat penting yang diperlukan untuk sesuatu organisme. Deoxyribonucleic acid ataupun DNA merupakan satu molekul yang mengkodkan semua maklumat genetik dan arahan yang diperlukan oleh sel dalam badan kita.
Senang cakap, tanpa DNA, sesuatu organisme tidak boleh terbentuk.

Didalam manusia, ada dua jenis DNA. Pertamanya kita ada DNA nuclear dan yang kedua kita ada DNA mitokondrial

Ilustrasi kredit kepada University of California Museum of Paleontology's Understanding Science (http://www.understandingscience.org).

DNA Nuclear adalah DNA yang terletak di dalam sel yang bertindak sebagai otak yang mengawal semua aktiviti di dalam sel badan kita. Manakala DNA mitochondrial pula terdapat di dalam satu organelle yang dinamakan sebagai Mitochondria dan organelle ini merupakan satu kilang yang menjanakan tenaga yang diperlukan oleh badan kita. (Baca sendiri apa itu organelle)

Kedua -dua DNA ini mempunyai kepentingan yang berbeza. DNA nuklear mengkodkan kebanyakkan maklumat genetik yang diperlukan untuk menghasilkan protein yang diperlukan oleh badan kita manakala DNA mitokondria pula lebih kepada mengkodkan protein yang diperlukan untuk penjanaan tenaga dan bagusnya DNA mictokondria ini ialah dia boleh bertahan terhadap degradasi. Maknanya bakteria tidak boleh degrade dia sangat sebab bentuk dia bulat. Dan kalau sekiranya analisis perlu dibuat keatas tulang-tulang yang telah mereput dengan teruk, DNA mitokondria lah satu-satunya harapan.

Ada satu kes pada tahun 2008, saintis dari USM masuk ke hutan di Gua Musang untuk keluarkan daripada bangkai pesawat Dakota N630 mangsa-mangsa yang terlibat dalam nahas. Pesawat ini telah terhempas pada tahun 1950 iaitu masa zaman komunis. Masa dikeluarkan pada tahun 2008 maknanya waktu itu tulang-tulang tersebut telah duduk didalam tanah lebih kurang sudah 50 tahun. Saintis dari USM tadi akhirnya telah dapat mengenal pasti pemilik tulang tersebut dengan membuat perbandingan dengan saudara sebelah ibu, guna analisis DNA mitokondria. Ketika itu mereka dapat jumpa 4 tulang sebab kebanyakan tulang yang lain telah hanyut kerana banjir besar. Tulang-tulang tersebut milik arwah Kpl Ahmad Abdul Jalil. Saintis USM tadi dapat pastikan dengan membuat perbandingan dengan adik lelaki arwah yang masih hidup. Selesai analisis, tulang-tulang tersebut telah diserahkan kepada waris arwah dan Alhamdulillah telah dapat dikebumikan dengan sempurna di Muar Johor.

Selain daripada menyimpan maklumat genetik, DNA juga menyimpan seribu satu kisah tentang kejadian yang berlaku di masa silam.

Kenapa DNA menjadi sangat popular?

Di Malaysia ini teknologi analisis DNA datang agak lewat jika dibandingkan dengan US dan UK. Di sana DNA telah digunakan sebagai bukti di dalam mahkamah pada lewat tahun 80an manakala kita mula guna DNA pada lewat 90an rentetan daripada kes berprofil tinggi Anwar Ibrahim. Masa itulah bermulanya Malaysia menggunakan teknologi DNA.

Bagaimana sebenarnya DNA boleh menyimpan cerita tentang asal usul kita? Adakah DNA ini boleh digunakan untuk menjejaki asal usul kita? Bolehkah kita patah balik pergi ke dua tiga ratus tahun dahulu, apa yang berlaku di langkasuka dahulu ataupun malah di pentas sunda? ( Apa bendanya pentas sunda itu aku akan cerita sedikit dibawah nanti)

Apabila bercakap tentang DNA kita boleh melihat melalui dua kaedah, satu melalui paternal dan satu lagi melalui maternal. Jadi kita boleh menyusuri kita punya asal usul samada melalui sebelah ibu ataupun sebelah ayah. Jika melalui sebelah ibu, kita perlu menggunakan DNA mitokondria yang akan memberi maklumat semua saudara mara yang berkongsi nenek yang sama. Kakak, mak saudara, bapa saudara, semua baik lelaki ataupun perempuan asalkan daripada sebelah nenek yang sama akan mempunyai DNA mitrochondrial yang sama. Tetapi sebaliknya Y kromosom pula hanya menjejaki sebelah bapa sahaja tetapi malang sekali Y kromosom tidak diberi kepada anak perempuan. Jadi sekiranya satu keturunan tidak mempunyai anak lelaki, maka Y kromosom akan terputus setakat generasi itu sahaja. Dia tidak sama macam Mitrochindrial, ibu akan beri kepada anak lelaki dan juga anak perempuan. Satu yang bagusnya pula, DNA mitokondria dan DNA kromosom tidak mengalami rekombinasi. Maknanya kalau diberi kepada anak, macam mana ayah punya DNA mcam itulah anak punya DNA, diwariskan secara bulat-bulat kepada anak tanpa melalui perubahan. Dan sebab itu kita boleh melihat sejarah yang berlaku 70-80 ribu tahun dahulu kerana DNA ini tidak mengalami perubahan kecuali sedikit-sedikit mutasi yang kita boleh counter balik dengan perkiraan-perkiraan statistikal.

Sekarang kita masuk kepada tajuk genetik.

Secara amnya DNA mempunyai dua bahagian utama. Satu, bahagian yang mengkodkan gen. Bahagian ini tidak boleh ada banyak perubahan kerana sifat kita ini lebih kurang sama, kita ada dua kaki, dua tangan, dua mata dan maklumat yang dikodkan oleh gen ini tidak boleh berbeza diantara manusia kerana ia perlu sama dan perbezaan antara kita sangat sedikit pada bahagian ini. Tetapi kita ada satu bahagian lagi yang mempunyai kadar mutasi yang tinggi dan menyebabkan setiap diantara kita akan kelihatan berbeza. Kenapa ini penting? Kerana kalau kita melihat DNA sebagai satu molekul yang sangat besar, kita perlu pilih kawasan-kawasan yang tertentu sahaja untuk kita gabungkan maklumat untuk kita menjuruskna kepada individualisation. Ataupun kita hendak melihat kepada satu-satu bangsa dan sebagainya atau kepada satu-satu ciri, kita perlu menggunakan beberapa penanda supaya kita mendapat data yang lebih.

Sebagai contoh untuk mudah faham, bayangkan kau di dalam masjid ketika majlis maulud nabi. Aku mahu kau cari seseorang untuk aku.Ramai orang di masjid ketika itu dan aku hanya menggunakan satu sahaja penanda untuk bantu kau mencari orangnya. Katakanlah aku cakap kau perlu memanggil seseorang dalam masjid yang memakai songkok, bila dari luar kau tengok, ramainya yang pakai songkok kan? Siapa dia sebenarnya yang aku nak cari itu? Satu penanda memakai songkok masih terlalu besar skopnya. Jadi kemudian aku tambah lagi penanda yang lain, sekarang orang yang pakai songkok dan pakai baju putih. Aku guna dua penanda sekarang, songkok dan baju putih. Bila dua penanda, maknanya aku lebih menjurus kepada orang tersebut. Tetapi masih tidak boleh cari lagi orangnya sebab ada dua tiga orang yang pakai songkok dan berbaju putih. Sekarang aku masukkan satu lagi penanda, pakai samping merah. Sekarang bersongkok, baju putih dan bersamping merah. Baru dengan tiga penanda kau dah boleh mengenalpasti orang yang hendak dicari itu. Sekiranya aku tambahkan lagi penanda-penanda, makin banyak penanda semakin spesifik pemilihan tersebut.

Penggunaan DNA untuk menjejak asal-usul manusia.

Mula menjadi popular selepas satu penerbitan di dalam Nature pada tahun 1987 oleh Cann et al . Nature ini kalau dalam bidang saintifik merupakan jurnal yang bertahap sangat tinggi faktor impaknya. Di dalam jurnal itu dia menyatakan bahawa manusia moden yang ada pada zaman sekarang adalah berasal daripada mitokondrial ‘Eve’ yang hidup di Afrika lebih kurang 200 ribu tahun dahulu. Wanita ini merupakan induk kepada semua manusia pada zaman sekarang. Sebelum wujudnya Eve ( ini telah dibuktikan oleh kajian arkeologi ) telah wujud di atas muka bumi manusia purba. Ada berbagai jenis manusia purba. Kita ada Afarensis yang hidup 3 ke 3.4 juta tahun dahulu, kita ada Africanus yang hidup 2.5 juta tahun dahulu, ada Homo habilis - 1.8 juta tahun, Homo erectus - 1 juta tahun dan manusia purba yang terakhir Homo neandrethalensis- 200 ke 280 ribu tahun dahulu. Dan manusia moden iaitu Homo Sapiens dipercayai menggantikan manusia purba di muka bumi kerana manusia purba ini tidak dapat lagi beradaptasi dengan iklim dan persekitaran yang telah berubah daripada keadaan lebih sejuk meningkat kepada lebih panas. Mereka tidak dapat lagi beradaptasi dan mereka kalah kepada persekitaran dan akhirnya mereka pupus. Kemudian manusia Homo sapiens sapiens mengambil alih sebagai satu-satunya jenis homo sapiens di atas muka bumi.

Teori asal usul dan penghijrahan manusia.

Terdapat 2 teori utama tentang asal-usul dan penghijrahan manusia.Rentetan daripada mitokondrial Eve tadi, maka keluarlah satu hipotesis iaitu Out of Africa. Teori ini mengatakan selepas wujudnya Eve lebih kurang 200 ribu tahun dahulu, mereka ini bergerak keluar daripada Afrika. Dan mereka inilah yang akhirnya menduduki seluruh bumi. Lebih kurang 70 ribu tahun dahulu mereka bergerak keluar dan tiba di Asia Tenggara dan ada juga yang naik ke atas dan tiba di kawasan Eropah.

Ada satu lagi pendapat pula iaitu disebut sebagai Multi Regional Origin. Teori ini mengatakan bahawa manusia moden wujud secara ‘independent’ di lokasi yang berbeza. Tetapi ini tidak dapat diterima melalui bukti DNA kerana sekiranya betul mereka ini berevolusi daripada manusia purba, mereka ini sepatutnya mempunyai DNA yang lebih ‘tua’. Tadi aku sudah tunjukkan berapa umur manusia Africanus misalnya 2.5 juta tahun tapi tidak ada data DNA yang menunjukkan bahawa usia manusia moden atau homo sapien sapiens adalah sampai jutaan tahun. Dan kalaulah betul kita ini berevolusi daripada beruk dan orang utan, kenapa masih ada beruk dan orang utan yang masih kekal dalam keadaan beruk dan orang utan? Bila pula beruk dan orang utan ini hendak berevolusi menjadi manusia? Itu antara percubaan untuk menyangkal tanpa bukti DNA. Tetapi sekarang kita sudah ada bukti DNA, kita boleh bercakap secara ilmiah.

Siapakah Melayu?


Pentas Sunda. Dipercayai kumpulan kepulauan melayu ini dahulunya bersambung sebagai satu tanah besar sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas sunda dan tamadunnya lebih kurang 10 ribu tahun dahulu. Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baru di Asia Timur dan kepulauan Pasifik.


Macam yang aku sebut awal-awal tadi ada dua teori tentang asal usul melayu. Yang pertama iaitu yang terdapat di dalam buku-buku teks di sebut sebagai Out of Taiwan. Teori Out of Taiwan ataupun juga disebut sebagai Teori Slow Boat menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10 ribu tahun dahulu. Nanti aku tunjukkan kenapa kita tidak boleh terima orang Melayu ini berasal daripada Taiwan mahupun Yunnan. Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal daripada Taiwan ataupun Yunnan berkemungkinan besar kerana kita berkongsi bahasa yang sama jadi dipercayai kita ini merupakan keturunan daripada mereka yang bergerak keluar daripada Taiwan melalui teori slow boat ini. Boleh dikatakan teori ini berdasarkan persamaan bahasa kita dengan orang asli Taiwan.

Akan tetapi kajian saintifik yang menggunakan pelbagai penanda DNA macam yang telah aku sebut awal tadi telah menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan juga Asia Tenggara lebih menjurus kepada pergerakan dari arah selatan ke arah utara. Maknanya dari sini ke Taiwan dan bukan dari Taiwan ke sini. 

Satu kajian telah diterbitkan oleh HUGO Pan Asian SNP consortium pada tahun 2009 dalam Majalah Scince ( juga satu majalah yang sangat tinggi profilnya untuk kajian saintifik macam Nature tadi ) telah menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia di kawasn Asia. Bukan Asia itu sendiri iaitu di kawasan yang lebih utara sebaliknya di Asia tenggara itu sendiri dan Asia tenggara itu merupakan sumber utama takungan genetik bagi populasi di Asia.

Analisis filogenetik (yang merupakan analisis menggunakan software) menunjukkan bahawa orang asli Semang dan orang Melayu terletak pada cabang yang lebih awal (apabila di buat plotting) berbanding populasi di Asia Timur. Ini membuktikan bahawa orang Asli dan juga orang Melayu adalah populasi yang lebih tua berbanding populasi di Asia Timur.

Daripada data yang diperolehi daripada DNA mutikondrial menunjukkan orang asli di semenanjung Malaysia iaitu orang Semang adalah berasal daripada kumpulan manusia terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika. Dan yang menariknya orang Melayu juga berkongsi DNA yang usianya hampir sama dengan orang Semang. Kita boleh temui DNA ini dalam orang Kelantan, dalam orang Rawa (Rao), dalam orang Bugis, dalam orang Jawa. Walaupun tidak ramai, tetapi ada representative daripada setiap sub etnik yang dikaji. Mereka ini dipercayai telah mengambil laluan pantai kerana laluan pantai ini suhunya kurang ekstrim, laluannya lebih landai, tidak berbukit bukau dan mereka ini telah tiba di Asia Tenggara lebih kurang 70 ribu tahun dahulu.

Satu kajian yang sangat komprehensif telah dimulakan pada tahun 2007 oleh Profesor Dr Zafarina Zainudin dari USM yang melibatkan sebelas sub etnik Melayu di Semenanjung Malaysia. Sub etnik tersebut ialah Kelantan, Banjar, Bugis, Jawa, Mendailing, Kedah, Champa, Pattani, Acheh, Minangkabau dan Rawa. Kenapa Kelantan jadi satu sub etnik? Ini kerana berdasarkan kajian yang lebih awal sebelum itu mendapati DNA Kelantan ada satu unik dia dan agak berbeza daripada random Malay yang lain. Bila mereka sampling orang Kelantan, agak senang hendak mencari tiga generasi yang tidak bercampur. Kalau sampel orang Machang contohnya, kita akan dapati dia orang Machang bapa dia orang Machang dan datuk dia pun orang Machang juga. Kalau sub etnik lain macam Mendailing contohnya, agak susah hendak dapat sampel yang ‘clean’ tiga keturunan. Maknanya sudah ada bercampur. Kalau hendak orang jawa mesti betul-betul orang jawa sekurang-kurangnya tiga keturunan ataupun seingat-ingat dia tiga keturunan, contohnya kalau sampel itu beritahu tok kepada tok saya orang portugis maka pengkaji ini tadi tidak akan ambil dia sebagai sampel mereka. Sebab utama mereka tidak mahu ada yang bercampur adalah kerana nanti hasil keputusan yang keluar akan memberi maklumat yang tidak tepat. Mungkin keputusannya nanti menyatakan kita orang melayu berasal dari Eropah atau Arab misalnya.


Berikut merupakan beberapa hasil kajian saintis tempatan.

Data yang diperolehi menunjukkan bahawa sejumlah orang Melayu daripada pelbagai sub etnik ini mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60 ribu tahun ( Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) Turut juga berkongsi usia yang hampir sama dengan orang asli Semang.

Kena sebut Semang disini dan bukannya Senoi ataupun proto malay kerana orang asli Semang ini adalah merupakan populasi tertua dalam dunia yang telah diiktiraf dunia. Aku terbaca tinggal 89 orang sahaja mereka ini di Malaysia .Mereka ini tinggal di semenanjung Malaysia dan ada sikit-sikit lagi di Papua dan Australia.

Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA juga membuktikan bahawa kesemua sub enik Melayu ini mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi ( Edinur et al, 2009, Nurwaliyuddin et al, 2014).

Persamaan genetik ini memang sudah dijangka tetapi yang menariknya apabila mereka ini membuat analisis menggunakan apa yang dipanggil NJ dendogram berdasarkan penanda HLA A, B dan Cw, orang melayu dikelompokkan dalam satu kumpulan yang sama. Tidak pula di kelompokkan bersama orang Yunan atau orang taiwan atau orang Mongolia, Nigeria dan sebagainya dan data daripada pelbagai penanda DNA adalah sangat konsisten.

Penanda yang lain yang digunakan ialah penanda HLA A, B dan DRB1. Juga sekali lagi orang rawa, minangkabau, Kelantan dan Filipina termasuk didalam kumpulan yang sama iaitu kumpulan BBJ ( Banjar, Bugis, Jawa) kerana mereka mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi. Satu lagi yang menarik ialah BBJ terutamanya orang jawa mempunyai persamaan yang tersangat tinggi dengan orang Kelantan.

Hasil kajian yang terbaru pada tahun 2016 oleh staf Jabatan Kimia Malaysia Johor Bharu bernama Adrianee yang menggunakan penanda STR menunjukkan sekali lagi bahawa orang Melayu dikelompokkan bersama-sama dan tidak dikelompokkan bersama orang-orang Taiwan.

Guna penanda HNA (Human neutrofil antigen) juga hasilnya orang melayu dikelompokkan bersama-sama dan tidak bersama-sama populasi lain.

Penanda cytokine pun menunjukkan hasil yang sama. Malah menggunakan penanda ini, orang asli Taiwan seperti Zhao, Haka, Ami, Ataya dan Minan tidak pula di kelompokkan bersama-sama orang Melayu. Dan perbezaan genetik antara dua kumpulan ini sangat banyak. Sekiranya kita ini dikatakan berasal daripada Taiwan, mestilah kita akan berada dikelompok yang sama sebab kita mempunyai persamaan genetik dengan mereka bukan?

Hasil bila menggunakan penanda KIR pula, hasilnya ialah orang Melayu dikelompokkan bersama orang Maori.

Ada lagi penemuan menarik, apabila pengkaji ini menggunakan KIR dan memplot datanya untuk melihat frekuensi haplotype A dan B bagi penanda Melayu dan Orang Asli ( data ini boleh menunjukkan usia sesuatu populasi ) mendapati orang Batik, Australian origin, Papua dan Iryan jaya merupakan populasi yang tua dan Melayu dan Maori berada di tengah-tengah dan Taiwan, Han, Korea selatan adalah populasi yang lebih muda ( baru). Maknanya usia populasi mereka lebih muda daripada usia kita.


Asia Timur Vs Asia Tenggara

Satu Kajian telah dilakukan oleh Kong et al pada tahun 2010 melibatkan individu yang sangat ramai (6093 orang daripada 84 populasi di China). Dia juga mencadangkan pergerakan dari arah selatan bagi populasi asia timur, Dia juga mencadangkan bahawa takungan genetik di China itu sendiri adalah berasal daripada kawasan selatan. Dan apabila dibandingkan DNA mitokondrial yang dalam kajian Dr Zafarina tadi didapati ianya adalah lebih tua berbanding dengan DNA dalam kajian oleh Kong ini tadi dimana yang paling tua pada Kong itu baru dalam 45ribu tahun sedangkan apa yang ada pada orang melayu pada Dr Zafarina berusia dalam 60 ribu tahun.

Berdasarkan data DNA mitokondrial ini kita tidak dapat menyokong hipotesis pergerakan manusia dari arah utara ke selatan bagi populasi asia timur dan juga asia tenggara. Ini secara tidak langsung kita boleh menolak the slow boat theory.

Kesimpulan.

Kesemua sub etnik melayu ini ternyata berasal daripada susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama. ‘Perpisahan’ yang disebabkan oleh sempadan geografi dan politik pada hari ini menyebabkan kita dilihat sebagai populasi yang berbeza sedangkan kita mempunyai hubungan genetik yang sangat akrab. Maka tidak hairanlah kita berkongsi citarasa yang sama, tradisi yang sama dan budaya yang sama. Tidak perlu dipersoalkan siapa yang memulakan batik, dondang sayang, nasi lemak dan sebagainya kerana kita berasal daripada nenek moyang yang sama.

Kesemua hasil kajian ini menunjukkan penanda DNA yang digunakan boleh memberi gambaran yang tepat bagi hubungkait antara manusia. Ini kerana setiap satu hasil keputusan daripada penanda yang lain-lain adalah sangat konsisten. Kalau setiap penanda itu memberi jawapan yang berbeza maka kita tidak boleh mempercayai penanda mana yang sepatutnya digunakan.

Data genetik juga menunjukkan bahawa orang melayu merupakan populasi yang cukup tua yang telah wujud dan merupakan penghuni terawal kepulauan melayu ini.

Bukti melalui kajian DNA juga tidak menyokong bahawa orang melayu berasal dari Taiwan atau Yunnan. Sebab itulah sampel yang Asli (pure) sangat penting. Sekiranya pengkaji-engkaji ini tidak membuat pemilihan yang betul-betul dan berhati-hati, sekiranya ada sampel yang neneknya orang belanda atau datuknya orang dari sebelah eropah misalnya ianya akan menyebabkan data itu beralih kesana. Bukan maknanya kita tidak boleh mempercayai data tetapi teknik pemilihan sampel yang tidak betul sangat-sangat mempengaruhi keputusan DNA. Sampel yang asli sangat penting. Melayu boleh jadi Melayu tetapi Melayu ada campur atau tidak itu soalannya.

 Sampai sini sahaja yang aku boleh ceritakan untuk kau. Mungkin di masa kau nanti ada teori baru berdasarkan kajian-kajian yang lain ataupun teori out of sundaland telah menjadi teori arus perdana. Di kali yang lain aku akan ceritakan hasil kajian dalam bidang yang lain pula. Sementara itu, aku cadangkan kau untuk memperbanyakkan membaca jurnal.