Monday, 20 November 2017

Melayu itu asal dari mana? - Bahagian 1



Setakat dimasa aku ini, kalau ditanya orang melayu ini berasal dari mana, teori yang berada di dalam buku-buku teks banyak berkumpul kepada teori arus perdana iaitu teori ‘Out of Taiwan.’ bahawa orang melayu ini asalnya datang daripada Yunnan dan kemudiannya berhijrah turun ke kawasan kepulauan melayu ini. Dan fakta ini telah dimanipulasi apabila disebut bahawa orang melayu adalah pendatang asing di tanah melayu dan sebagainya kerana mereka ini sebenarnya berasal daripada Taiwan. Dan teori ini adalah teori yang berada diseluruh dunia. Kita tidak boleh nak menyalahkan orang-orang ini kerana orang yang berada di sebelah sana lebih awal bersungguh pada membuat kajian. Kita agak lewat mengkaji topik ini.
Teori kedua mengenai asal usul Melayu pula ialah Teori ‘Out of Sunda Land’ bahawa orang melayu ini asalnya daripada Pentas Sunda disebelah sini dan kemudiannya ada yang berhijrah ke bahagian lebih utara iaitu Taiwan dan Yunnan. Teori out of sundaland ini diketengahkan oleh Stephen Oppenheimer pada hujung  90an.
Kalau kau tanya aku, aku pilih teori yang mana, maka disini aku beritahu setakat ketika ini aku cenderung kepada teori kedua iaitu out of sundaland. Ini kerana data-data dari hasil kajian dalam beberapa bidang lebih menyokong teori ini. Salah satu daripadanya ialah ialah hasil kajian dalam bidang genetik. 
Mari sini aku cerita.

Apa itu DNA?
Sebelum kita memahami lebih lanjut tentang genetik, elok aku terangkan serba sedikit tentang apa itu DNA dan bagaimana DNA ini boleh mengkodkan semua maklumat-maklumat penting yang diperlukan untuk sesuatu organisme. Deoxyribonucleic acid ataupun DNA merupakan satu molekul yang mengkodkan semua maklumat genetik dan arahan yang diperlukan oleh sel dalam badan kita.
Senang cakap, tanpa DNA, sesuatu organisme tidak boleh terbentuk.

Didalam manusia, ada dua jenis DNA. Pertamanya kita ada DNA nuclear dan yang kedua kita ada DNA mitokondrial

Ilustrasi kredit kepada University of California Museum of Paleontology's Understanding Science (http://www.understandingscience.org).

DNA Nuclear adalah DNA yang terletak di dalam sel yang bertindak sebagai otak yang mengawal semua aktiviti di dalam sel badan kita. Manakala DNA mitochondrial pula terdapat di dalam satu organelle yang dinamakan sebagai Mitochondria dan organelle ini merupakan satu kilang yang menjanakan tenaga yang diperlukan oleh badan kita. (Baca sendiri apa itu organelle)

Kedua -dua DNA ini mempunyai kepentingan yang berbeza. DNA nuklear mengkodkan kebanyakkan maklumat genetik yang diperlukan untuk menghasilkan protein yang diperlukan oleh badan kita manakala DNA mitokondria pula lebih kepada mengkodkan protein yang diperlukan untuk penjanaan tenaga dan bagusnya DNA mictokondria ini ialah dia boleh bertahan terhadap degradasi. Maknanya bakteria tidak boleh degrade dia sangat sebab bentuk dia bulat. Dan kalau sekiranya analisis perlu dibuat keatas tulang-tulang yang telah mereput dengan teruk, DNA mitokondria lah satu-satunya harapan.

Ada satu kes pada tahun 2008, saintis dari USM masuk ke hutan di Gua Musang untuk keluarkan daripada bangkai pesawat Dakota N630 mangsa-mangsa yang terlibat dalam nahas. Pesawat ini telah terhempas pada tahun 1950 iaitu masa zaman komunis. Masa dikeluarkan pada tahun 2008 maknanya waktu itu tulang-tulang tersebut telah duduk didalam tanah lebih kurang sudah 50 tahun. Saintis dari USM tadi akhirnya telah dapat mengenal pasti pemilik tulang tersebut dengan membuat perbandingan dengan saudara sebelah ibu, guna analisis DNA mitokondria. Ketika itu mereka dapat jumpa 4 tulang sebab kebanyakan tulang yang lain telah hanyut kerana banjir besar. Tulang-tulang tersebut milik arwah Kpl Ahmad Abdul Jalil. Saintis USM tadi dapat pastikan dengan membuat perbandingan dengan adik lelaki arwah yang masih hidup. Selesai analisis, tulang-tulang tersebut telah diserahkan kepada waris arwah dan Alhamdulillah telah dapat dikebumikan dengan sempurna di Muar Johor.

Selain daripada menyimpan maklumat genetik, DNA juga menyimpan seribu satu kisah tentang kejadian yang berlaku di masa silam.

Kenapa DNA menjadi sangat popular?

Di Malaysia ini teknologi analisis DNA datang agak lewat jika dibandingkan dengan US dan UK. Di sana DNA telah digunakan sebagai bukti di dalam mahkamah pada lewat tahun 80an manakala kita mula guna DNA pada lewat 90an rentetan daripada kes berprofil tinggi Anwar Ibrahim. Masa itulah bermulanya Malaysia menggunakan teknologi DNA.

Bagaimana sebenarnya DNA boleh menyimpan cerita tentang asal usul kita? Adakah DNA ini boleh digunakan untuk menjejaki asal usul kita? Bolehkah kita patah balik pergi ke dua tiga ratus tahun dahulu, apa yang berlaku di langkasuka dahulu ataupun malah di pentas sunda? ( Apa bendanya pentas sunda itu aku akan cerita sedikit dibawah nanti)

Apabila bercakap tentang DNA kita boleh melihat melalui dua kaedah, satu melalui paternal dan satu lagi melalui maternal. Jadi kita boleh menyusuri kita punya asal usul samada melalui sebelah ibu ataupun sebelah ayah. Jika melalui sebelah ibu, kita perlu menggunakan DNA mitokondria yang akan memberi maklumat semua saudara mara yang berkongsi nenek yang sama. Kakak, mak saudara, bapa saudara, semua baik lelaki ataupun perempuan asalkan daripada sebelah nenek yang sama akan mempunyai DNA mitrochondrial yang sama. Tetapi sebaliknya Y kromosom pula hanya menjejaki sebelah bapa sahaja tetapi malang sekali Y kromosom tidak diberi kepada anak perempuan. Jadi sekiranya satu keturunan tidak mempunyai anak lelaki, maka Y kromosom akan terputus setakat generasi itu sahaja. Dia tidak sama macam Mitrochindrial, ibu akan beri kepada anak lelaki dan juga anak perempuan. Satu yang bagusnya pula, DNA mitokondria dan DNA kromosom tidak mengalami rekombinasi. Maknanya kalau diberi kepada anak, macam mana ayah punya DNA mcam itulah anak punya DNA, diwariskan secara bulat-bulat kepada anak tanpa melalui perubahan. Dan sebab itu kita boleh melihat sejarah yang berlaku 70-80 ribu tahun dahulu kerana DNA ini tidak mengalami perubahan kecuali sedikit-sedikit mutasi yang kita boleh counter balik dengan perkiraan-perkiraan statistikal.

Sekarang kita masuk kepada tajuk genetik.

Secara amnya DNA mempunyai dua bahagian utama. Satu, bahagian yang mengkodkan gen. Bahagian ini tidak boleh ada banyak perubahan kerana sifat kita ini lebih kurang sama, kita ada dua kaki, dua tangan, dua mata dan maklumat yang dikodkan oleh gen ini tidak boleh berbeza diantara manusia kerana ia perlu sama dan perbezaan antara kita sangat sedikit pada bahagian ini. Tetapi kita ada satu bahagian lagi yang mempunyai kadar mutasi yang tinggi dan menyebabkan setiap diantara kita akan kelihatan berbeza. Kenapa ini penting? Kerana kalau kita melihat DNA sebagai satu molekul yang sangat besar, kita perlu pilih kawasan-kawasan yang tertentu sahaja untuk kita gabungkan maklumat untuk kita menjuruskna kepada individualisation. Ataupun kita hendak melihat kepada satu-satu bangsa dan sebagainya atau kepada satu-satu ciri, kita perlu menggunakan beberapa penanda supaya kita mendapat data yang lebih.

Sebagai contoh untuk mudah faham, bayangkan kau di dalam masjid ketika majlis maulud nabi. Aku mahu kau cari seseorang untuk aku.Ramai orang di masjid ketika itu dan aku hanya menggunakan satu sahaja penanda untuk bantu kau mencari orangnya. Katakanlah aku cakap kau perlu memanggil seseorang dalam masjid yang memakai songkok, bila dari luar kau tengok, ramainya yang pakai songkok kan? Siapa dia sebenarnya yang aku nak cari itu? Satu penanda memakai songkok masih terlalu besar skopnya. Jadi kemudian aku tambah lagi penanda yang lain, sekarang orang yang pakai songkok dan pakai baju putih. Aku guna dua penanda sekarang, songkok dan baju putih. Bila dua penanda, maknanya aku lebih menjurus kepada orang tersebut. Tetapi masih tidak boleh cari lagi orangnya sebab ada dua tiga orang yang pakai songkok dan berbaju putih. Sekarang aku masukkan satu lagi penanda, pakai samping merah. Sekarang bersongkok, baju putih dan bersamping merah. Baru dengan tiga penanda kau dah boleh mengenalpasti orang yang hendak dicari itu. Sekiranya aku tambahkan lagi penanda-penanda, makin banyak penanda semakin spesifik pemilihan tersebut.

Penggunaan DNA untuk menjejak asal-usul manusia.

Mula menjadi popular selepas satu penerbitan di dalam Nature pada tahun 1987 oleh Cann et al . Nature ini kalau dalam bidang saintifik merupakan jurnal yang bertahap sangat tinggi faktor impaknya. Di dalam jurnal itu dia menyatakan bahawa manusia moden yang ada pada zaman sekarang adalah berasal daripada mitokondrial ‘Eve’ yang hidup di Afrika lebih kurang 200 ribu tahun dahulu. Wanita ini merupakan induk kepada semua manusia pada zaman sekarang. Sebelum wujudnya Eve ( ini telah dibuktikan oleh kajian arkeologi ) telah wujud di atas muka bumi manusia purba. Ada berbagai jenis manusia purba. Kita ada Afarensis yang hidup 3 ke 3.4 juta tahun dahulu, kita ada Africanus yang hidup 2.5 juta tahun dahulu, ada Homo habilis - 1.8 juta tahun, Homo erectus - 1 juta tahun dan manusia purba yang terakhir Homo neandrethalensis- 200 ke 280 ribu tahun dahulu. Dan manusia moden iaitu Homo Sapiens dipercayai menggantikan manusia purba di muka bumi kerana manusia purba ini tidak dapat lagi beradaptasi dengan iklim dan persekitaran yang telah berubah daripada keadaan lebih sejuk meningkat kepada lebih panas. Mereka tidak dapat lagi beradaptasi dan mereka kalah kepada persekitaran dan akhirnya mereka pupus. Kemudian manusia Homo sapiens sapiens mengambil alih sebagai satu-satunya jenis homo sapiens di atas muka bumi.

Teori asal usul dan penghijrahan manusia.

Terdapat 2 teori utama tentang asal-usul dan penghijrahan manusia.Rentetan daripada mitokondrial Eve tadi, maka keluarlah satu hipotesis iaitu Out of Africa. Teori ini mengatakan selepas wujudnya Eve lebih kurang 200 ribu tahun dahulu, mereka ini bergerak keluar daripada Afrika. Dan mereka inilah yang akhirnya menduduki seluruh bumi. Lebih kurang 70 ribu tahun dahulu mereka bergerak keluar dan tiba di Asia Tenggara dan ada juga yang naik ke atas dan tiba di kawasan Eropah.

Ada satu lagi pendapat pula iaitu disebut sebagai Multi Regional Origin. Teori ini mengatakan bahawa manusia moden wujud secara ‘independent’ di lokasi yang berbeza. Tetapi ini tidak dapat diterima melalui bukti DNA kerana sekiranya betul mereka ini berevolusi daripada manusia purba, mereka ini sepatutnya mempunyai DNA yang lebih ‘tua’. Tadi aku sudah tunjukkan berapa umur manusia Africanus misalnya 2.5 juta tahun tapi tidak ada data DNA yang menunjukkan bahawa usia manusia moden atau homo sapien sapiens adalah sampai jutaan tahun. Dan kalaulah betul kita ini berevolusi daripada beruk dan orang utan, kenapa masih ada beruk dan orang utan yang masih kekal dalam keadaan beruk dan orang utan? Bila pula beruk dan orang utan ini hendak berevolusi menjadi manusia? Itu antara percubaan untuk menyangkal tanpa bukti DNA. Tetapi sekarang kita sudah ada bukti DNA, kita boleh bercakap secara ilmiah.

Siapakah Melayu?


Pentas Sunda. Dipercayai kumpulan kepulauan melayu ini dahulunya bersambung sebagai satu tanah besar sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas sunda dan tamadunnya lebih kurang 10 ribu tahun dahulu. Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baru di Asia Timur dan kepulauan Pasifik.


Macam yang aku sebut awal-awal tadi ada dua teori tentang asal usul melayu. Yang pertama iaitu yang terdapat di dalam buku-buku teks di sebut sebagai Out of Taiwan. Teori Out of Taiwan ataupun juga disebut sebagai Teori Slow Boat menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10 ribu tahun dahulu. Nanti aku tunjukkan kenapa kita tidak boleh terima orang Melayu ini berasal daripada Taiwan mahupun Yunnan. Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal daripada Taiwan ataupun Yunnan berkemungkinan besar kerana kita berkongsi bahasa yang sama jadi dipercayai kita ini merupakan keturunan daripada mereka yang bergerak keluar daripada Taiwan melalui teori slow boat ini. Boleh dikatakan teori ini berdasarkan persamaan bahasa kita dengan orang asli Taiwan.

Akan tetapi kajian saintifik yang menggunakan pelbagai penanda DNA macam yang telah aku sebut awal tadi telah menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan juga Asia Tenggara lebih menjurus kepada pergerakan dari arah selatan ke arah utara. Maknanya dari sini ke Taiwan dan bukan dari Taiwan ke sini. 

Satu kajian telah diterbitkan oleh HUGO Pan Asian SNP consortium pada tahun 2009 dalam Majalah Scince ( juga satu majalah yang sangat tinggi profilnya untuk kajian saintifik macam Nature tadi ) telah menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia di kawasn Asia. Bukan Asia itu sendiri iaitu di kawasan yang lebih utara sebaliknya di Asia tenggara itu sendiri dan Asia tenggara itu merupakan sumber utama takungan genetik bagi populasi di Asia.

Analisis filogenetik (yang merupakan analisis menggunakan software) menunjukkan bahawa orang asli Semang dan orang Melayu terletak pada cabang yang lebih awal (apabila di buat plotting) berbanding populasi di Asia Timur. Ini membuktikan bahawa orang Asli dan juga orang Melayu adalah populasi yang lebih tua berbanding populasi di Asia Timur.

Daripada data yang diperolehi daripada DNA mutikondrial menunjukkan orang asli di semenanjung Malaysia iaitu orang Semang adalah berasal daripada kumpulan manusia terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika. Dan yang menariknya orang Melayu juga berkongsi DNA yang usianya hampir sama dengan orang Semang. Kita boleh temui DNA ini dalam orang Kelantan, dalam orang Rawa (Rao), dalam orang Bugis, dalam orang Jawa. Walaupun tidak ramai, tetapi ada representative daripada setiap sub etnik yang dikaji. Mereka ini dipercayai telah mengambil laluan pantai kerana laluan pantai ini suhunya kurang ekstrim, laluannya lebih landai, tidak berbukit bukau dan mereka ini telah tiba di Asia Tenggara lebih kurang 70 ribu tahun dahulu.

Satu kajian yang sangat komprehensif telah dimulakan pada tahun 2007 oleh Profesor Dr Zafarina Zainudin dari USM yang melibatkan sebelas sub etnik Melayu di Semenanjung Malaysia. Sub etnik tersebut ialah Kelantan, Banjar, Bugis, Jawa, Mendailing, Kedah, Champa, Pattani, Acheh, Minangkabau dan Rawa. Kenapa Kelantan jadi satu sub etnik? Ini kerana berdasarkan kajian yang lebih awal sebelum itu mendapati DNA Kelantan ada satu unik dia dan agak berbeza daripada random Malay yang lain. Bila mereka sampling orang Kelantan, agak senang hendak mencari tiga generasi yang tidak bercampur. Kalau sampel orang Machang contohnya, kita akan dapati dia orang Machang bapa dia orang Machang dan datuk dia pun orang Machang juga. Kalau sub etnik lain macam Mendailing contohnya, agak susah hendak dapat sampel yang ‘clean’ tiga keturunan. Maknanya sudah ada bercampur. Kalau hendak orang jawa mesti betul-betul orang jawa sekurang-kurangnya tiga keturunan ataupun seingat-ingat dia tiga keturunan, contohnya kalau sampel itu beritahu tok kepada tok saya orang portugis maka pengkaji ini tadi tidak akan ambil dia sebagai sampel mereka. Sebab utama mereka tidak mahu ada yang bercampur adalah kerana nanti hasil keputusan yang keluar akan memberi maklumat yang tidak tepat. Mungkin keputusannya nanti menyatakan kita orang melayu berasal dari Eropah atau Arab misalnya.


Berikut merupakan beberapa hasil kajian saintis tempatan.

Data yang diperolehi menunjukkan bahawa sejumlah orang Melayu daripada pelbagai sub etnik ini mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60 ribu tahun ( Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) Turut juga berkongsi usia yang hampir sama dengan orang asli Semang.

Kena sebut Semang disini dan bukannya Senoi ataupun proto malay kerana orang asli Semang ini adalah merupakan populasi tertua dalam dunia yang telah diiktiraf dunia. Aku terbaca tinggal 89 orang sahaja mereka ini di Malaysia .Mereka ini tinggal di semenanjung Malaysia dan ada sikit-sikit lagi di Papua dan Australia.

Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA juga membuktikan bahawa kesemua sub enik Melayu ini mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi ( Edinur et al, 2009, Nurwaliyuddin et al, 2014).

Persamaan genetik ini memang sudah dijangka tetapi yang menariknya apabila mereka ini membuat analisis menggunakan apa yang dipanggil NJ dendogram berdasarkan penanda HLA A, B dan Cw, orang melayu dikelompokkan dalam satu kumpulan yang sama. Tidak pula di kelompokkan bersama orang Yunan atau orang taiwan atau orang Mongolia, Nigeria dan sebagainya dan data daripada pelbagai penanda DNA adalah sangat konsisten.

Penanda yang lain yang digunakan ialah penanda HLA A, B dan DRB1. Juga sekali lagi orang rawa, minangkabau, Kelantan dan Filipina termasuk didalam kumpulan yang sama iaitu kumpulan BBJ ( Banjar, Bugis, Jawa) kerana mereka mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi. Satu lagi yang menarik ialah BBJ terutamanya orang jawa mempunyai persamaan yang tersangat tinggi dengan orang Kelantan.

Hasil kajian yang terbaru pada tahun 2016 oleh staf Jabatan Kimia Malaysia Johor Bharu bernama Adrianee yang menggunakan penanda STR menunjukkan sekali lagi bahawa orang Melayu dikelompokkan bersama-sama dan tidak dikelompokkan bersama orang-orang Taiwan.

Guna penanda HNA (Human neutrofil antigen) juga hasilnya orang melayu dikelompokkan bersama-sama dan tidak bersama-sama populasi lain.

Penanda cytokine pun menunjukkan hasil yang sama. Malah menggunakan penanda ini, orang asli Taiwan seperti Zhao, Haka, Ami, Ataya dan Minan tidak pula di kelompokkan bersama-sama orang Melayu. Dan perbezaan genetik antara dua kumpulan ini sangat banyak. Sekiranya kita ini dikatakan berasal daripada Taiwan, mestilah kita akan berada dikelompok yang sama sebab kita mempunyai persamaan genetik dengan mereka bukan?

Hasil bila menggunakan penanda KIR pula, hasilnya ialah orang Melayu dikelompokkan bersama orang Maori.

Ada lagi penemuan menarik, apabila pengkaji ini menggunakan KIR dan memplot datanya untuk melihat frekuensi haplotype A dan B bagi penanda Melayu dan Orang Asli ( data ini boleh menunjukkan usia sesuatu populasi ) mendapati orang Batik, Australian origin, Papua dan Iryan jaya merupakan populasi yang tua dan Melayu dan Maori berada di tengah-tengah dan Taiwan, Han, Korea selatan adalah populasi yang lebih muda ( baru). Maknanya usia populasi mereka lebih muda daripada usia kita.


Asia Timur Vs Asia Tenggara

Satu Kajian telah dilakukan oleh Kong et al pada tahun 2010 melibatkan individu yang sangat ramai (6093 orang daripada 84 populasi di China). Dia juga mencadangkan pergerakan dari arah selatan bagi populasi asia timur, Dia juga mencadangkan bahawa takungan genetik di China itu sendiri adalah berasal daripada kawasan selatan. Dan apabila dibandingkan DNA mitokondrial yang dalam kajian Dr Zafarina tadi didapati ianya adalah lebih tua berbanding dengan DNA dalam kajian oleh Kong ini tadi dimana yang paling tua pada Kong itu baru dalam 45ribu tahun sedangkan apa yang ada pada orang melayu pada Dr Zafarina berusia dalam 60 ribu tahun.

Berdasarkan data DNA mitokondrial ini kita tidak dapat menyokong hipotesis pergerakan manusia dari arah utara ke selatan bagi populasi asia timur dan juga asia tenggara. Ini secara tidak langsung kita boleh menolak the slow boat theory.

Kesimpulan.

Kesemua sub etnik melayu ini ternyata berasal daripada susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama. ‘Perpisahan’ yang disebabkan oleh sempadan geografi dan politik pada hari ini menyebabkan kita dilihat sebagai populasi yang berbeza sedangkan kita mempunyai hubungan genetik yang sangat akrab. Maka tidak hairanlah kita berkongsi citarasa yang sama, tradisi yang sama dan budaya yang sama. Tidak perlu dipersoalkan siapa yang memulakan batik, dondang sayang, nasi lemak dan sebagainya kerana kita berasal daripada nenek moyang yang sama.

Kesemua hasil kajian ini menunjukkan penanda DNA yang digunakan boleh memberi gambaran yang tepat bagi hubungkait antara manusia. Ini kerana setiap satu hasil keputusan daripada penanda yang lain-lain adalah sangat konsisten. Kalau setiap penanda itu memberi jawapan yang berbeza maka kita tidak boleh mempercayai penanda mana yang sepatutnya digunakan.

Data genetik juga menunjukkan bahawa orang melayu merupakan populasi yang cukup tua yang telah wujud dan merupakan penghuni terawal kepulauan melayu ini.

Bukti melalui kajian DNA juga tidak menyokong bahawa orang melayu berasal dari Taiwan atau Yunnan. Sebab itulah sampel yang Asli (pure) sangat penting. Sekiranya pengkaji-engkaji ini tidak membuat pemilihan yang betul-betul dan berhati-hati, sekiranya ada sampel yang neneknya orang belanda atau datuknya orang dari sebelah eropah misalnya ianya akan menyebabkan data itu beralih kesana. Bukan maknanya kita tidak boleh mempercayai data tetapi teknik pemilihan sampel yang tidak betul sangat-sangat mempengaruhi keputusan DNA. Sampel yang asli sangat penting. Melayu boleh jadi Melayu tetapi Melayu ada campur atau tidak itu soalannya.

 Sampai sini sahaja yang aku boleh ceritakan untuk kau. Mungkin di masa kau nanti ada teori baru berdasarkan kajian-kajian yang lain ataupun teori out of sundaland telah menjadi teori arus perdana. Di kali yang lain aku akan ceritakan hasil kajian dalam bidang yang lain pula. Sementara itu, aku cadangkan kau untuk memperbanyakkan membaca jurnal.

No comments:

Post a Comment