Masjid Ihsaniah Iskandariah dibina pada tahun 1936 dengan ihsan Almarhum Paduka Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke 30. Majlis perasmian masjid ini telah disempurnakan oleh baginda pada hari Jumaat 10 Zulhijjah 1356 Hijrah bersamaan 11 Februari 1938.
Rekabentuk dan hiasan masjid ini diilhamkan oleh baginda berdasarkan senibina Istana Kenangan di Bukit Chandan.
Istana Kenangan di Bukit Chandan. |
Keseluruhan dinding KELARAI (Tepas) yang bermotifkan Berlian merupakan anyaman buluh minyak yang telah disiapkan secara gotong royong oleh penduduk kampung.
Masjid ini mempunyai 20 buah tingkap dan tingkap di tingkat bawah dibina tinggi bagi memelihara pandangan.
Setiap tingkap dihias dengan ukiran motif insang ikan yu dan pucuk kacang pada kepala tingkap dan diserikan dengan ukiran bulan sabit serta bintang pecah lima.
Jumlah tingkap yang banyak menjadikan masjid sangat cerah, nyaman dan selesa.
Setiap sendi kayu dinding Tepas dihias dengan ukiran sekuntum bunga Tikam Seladang bagi menambah lagi seri hiasan dinding. Corak kelarai kemudiannya dicat dengan warna bendera negeri Perak Darul Riduan sama seperti warna bagi Istana Kenangan.
Seni ukiran paling menarik adalah pada papan perasmian masjid yang mempunyai cop mohor masjid yang dahulunya terletak pada hadapan mimbar tetapi kini telah musnah.
Masjid ini tidak digunakan lagi semenjak tahun 1976 dan menjadi semakin uzur dan usang sehinggalah ia diselamatkan dan dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2008.
No comments:
Post a Comment