Thursday, 21 September 2017

Kaabah ditawan 1979 - Al Mahdi atau bukan.


1 Muharam 1400
20 November 1979


Hari ini kelihatan biasa seperti hari-hari yang lain di kota suci Makkah. Azan subuh berkumandang dan beratus-ratus  malah beribu-ribu Jemaah mula berkumpul di hadapan pintu untuk masuk ke dalam Masjidil Haram untuk menunaikan solat fardhu  subuh .

Akan tetapi, hari ini bakal menjadi hari Hitam didalam sejarah Ummah ini.
Hari ini pada ketika ianya bermula kelihatan biasa sahaja, tetapi pada ketika ianya berakhir, Ummah bakal menyaksikan sesuatu perkara yang mereka tidak pernah saksikan sebelum ini.

Hari ini, 20 haribulan November 1979 bersamaan 1 Muharram 1400 hijrah. Betul-betul 38 tahun tahun yang lalu.

Sheikh Muhammad Ibn Subayil mengimamkan solat pada tahun 2004

Usai memberi salam solat subuh oleh Imam pagi itu Sheikh Muhammad Ibn Subayil ( beliau masih lagi salah seorang Imam Masjidil Haram di ketika ini ), tiba-tiba kedengaran beberapa das tembakan di dalam masjid dan  kekecohan dapat dilihat di saf pertama. Seorang lelaki bingkas dan merampas mikrofon yang Imam subaiyyid sedang gunakan.  

Beberapa orang lelaki juga turut bangun dan memegang pengawal-pengawal Sheikh Subayil  yang memang bertugas mengelilingi beliau.

Setelah situasi berada di bawah kawalan mereka, lelaki yang telah merampas mikrofon tadi mula berucap. Dia mula bercakap tentang kerosakkan yang sedang berlaku di dalam negeri ini, tentang kefasikkan rejim yang sedang memerintah sekarang iaitu Bani Saud. Lelaki ini juga bercakap mengenai kejahatan-kejahatan yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat dan banyak lagi tanda-tanda hari kiamat yang telah diisyaratkan atau diramalkan telah terjadi satu persatu di hadapan mata ketika itu.

Kemudian lelaki ini menyebut tentang Rasulullah SAW telah berkata bahawa akan muncul Mujaddid atau pembaharu kepada agama ini pada setiap 100 tahun. Dan lihatlah, hari ini merupakan 1 muharram tahun 1400, permulaan kurun yang baru.

Dia menambah lagi dengan membacakan hadith mengenai Al Mahdi. Seorang tokoh yang akan muncul di akhir zaman ketika dunia ini dipenuhi oleh ketidak adilan dan kejahatan seperti keadaannya sekarang ini ( 1979 ).

 “ Kini Mahdi ada dikalangan kita” kata lelaki itu.

Dia memanggil seorang lelaki di dalam saf di kalangan Jemaah untuk berdiri dan dia berkata,
“ Wahai kaum muslimin, inilah Mahdi, berilah bai’ah kamu kepada dia!”

Aku tidak mengada-adakan cerita ini, kalian boleh google fakta ini.

Dia berkata “ Berikan sumpah taat setia kepada lelaki ini …. Dia adalah Mahdi”

Dan lelaki tersebut yang namanya ialah Muhammad bin Abdullah dari suku Qahtan yang merupakan puak asli dari bangsa Quraisy berdiri di situ.

Manakala lelaki yang dari tadi bercakap kepada Jemaah itu ialah Juhayman bin Saif Al Utaybi
Juhayman . Sumber gambar dari Internet

Juhayman  yang merupakan perancang kepada insiden ini mengarahkan semua muslim yang berada di dalam Masjidil Haram bahawa lelaki ini adalah Mahdi, berikan bai’ah kamu kepadanya.

“Lihatlah kalian, dia sedang berdiri diantara Rukun dan dan Maqam, diantara Hajar Aswad batu hitam itu dan Maqam Ibrahim sepertimana apa yang Rasulullah SAW telah  sebutkan bahawa kelak Mahdi itu akan berdiri diantara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim.


dan nama nya ialah Muhammad seperti yang Nabi SAW sebutkan tentang ciri-ciri Mahdi

dan nama bapanya ialah Abdullah, seperti yang Nabi SAW telah sebutkan tentang ciri-ciri Mahdi

Malah dia adalah dari puak Quraisy, juga seperti yang Nabi SAW telah sebutkan.

Semua ciri-ciri Mahdi yang Rasulullah SAW telah sebutkan ada pada lelaki ini, jadi sekarang berbai’ahlah kamu kepada dia sekarang”

Sementara itu kaum Muslim yang berada di dalam MasjidilHaram ketika itu kebanyakkannya tidak faham bahasa arab, mereka  kebingungan cuba memahamkan apa yang sedang berlaku.

Bagi mereka yang memahami bahasa arab juga turut bingung cuba memproses kejadian ini.

Kedengaran bunyi tembakan di luar. Ketika mereka cuba meninggalkan Masjid dalam kekecohan itu, mereka dapati pintu-pintu masjidilharam telah ditutup dan dihalang.

Dan pada setiap pintu masjid mereka dapati pengawal bersenjata, bukannya pengawal masjidilharam tetapi anggota kumpulan si Juhayman Al utaybi yang mengawalnya.

Dan untuk tempoh seminggu setengah , Kaabah telah dijadikan tawanan dan tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ataupun keluar.

Sehinggalah pada hari ke empat, kumpulan Juhayman melepaskan Jemaah yang tidak mahu untuk berada disitu untuk pergi kerana mereka tidak mempunyai makanan untuk diberikan kepada tawanan yang kelaparan.
Anggota Gerak Khas dari Pakistan bersama Kurma yang menjadi bekalan makanan kumpulan Juhayman.

Menurut sebahagian ahli sejarah,tentera Juhayman ini adalah seramai 200 orang manakala sebahagian yang lain pula mengatakan mereka terdiri daripada 1000 orang.
Jika kita merujuk di dalam Wikipedia, disebut disana mereka seramai 300 ke 400 orang akan tetapi Wikipedia yang sama bercanggah dalam perkiraan mereka, jika kita kira jumlah yang terbunuh dan yang telah ditangkap jumlahnya ialah sekitar 250 orang. Beberapa akhbar juga melaporkan jumlah mereka ialah 1000 orang.

Wallahualam, aku tidak tahu sebenarnya berapa ramaikah jumlah mereka. Akan tetapi jumlah orang dalam kumpulan yang telah menjadikan Kaabah sebagai tawanan tersebut bolehlah dikira satu jumlah yang ramai.
Dan ketika itu, kumpulan ini telah tidak membenarkan mana-mana Muslim untuk masuk menunaikan solat ataupun tawaf.

Disepanjang krisis terebut, tawaf mengelilingi Kaabah telah terhenti, azan begitu juga dan solat berjemaah yang menjadi amalan muslimin juga telah terhenti di dalam Masjidil haram.

Perkara sebegini tidak pernah berlaku didalam sejarah ummah ini.

Kejadian ini masih terlalu baru berlaku, hanya 38 tahun yang lalu. Bayangkan, hanya 38 tahun lalu dan kebanyakkan kita tidak pernah mendengar pun mengenai kejadia ini. 

Subhanallah.

Ketika subuh 20 November 1979 beralih ke waktu Zuhur, polis dan tentera Saudi masih tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Mereka tidak dapat memastikannya. Ini merupakan kali pertama mereka berhadapan dengan tindakan keganasan.

Dan mereka mengambil masa hampir 24 jam hanya untuk memproses situasi kejadian di dalam masjidil haram bahawa seorang Mahdi telah mengambil alih Kaabah.

Ketika polis dan tentera cuba memasuki masjidil haram, mereka dapati Juhayman telah menempatkan penembak hendap di atas menara masjid. Ya diatas menara masjid yang sama kita lihat hari ini.

Gambar hiasan
Strukturnya masih tidak berubah. Itulah menara yang sama dimana penembak-penembak hendap Juhayman telah berdiri. Memang secara harfiahnya darah telah ditumpahkan didalam rumah Allah.

Mungkin kita bertanya bagaimana kumpulan ini membawa masuk senjata-senjata mereka ke dalam Masjidil Haram? Apa yang Juhayman telah aturkan ialah mereka menyeludup masuk senjata-senjata ini dengan menyamar sebagai jenazah. Beginilah caranya senjata itu diseludup masuk.

Semuanya telah dikumpulkan di suatu tempat dan sebaik sahaja selesai solat subuh, mereka mendapatkan senjata tersebut dengan segera dan mengambil posisi masing-masing seperti yang telah dirancangkan.

Pendekkan cerita, mereka menuntut beberapa perkara  dan tuntutan yang paling utama mereka ialah keluarga Saud menyerahkan kuasa mereka dan turun dari tahta pemerintahan yang mana kita tahu perkara tersebut takkan berlaku.

Sementara itu, para ulama mengeluarkan fatwa bahawa ini pastinya bukan Mahdi. Akan tetapi bukan seluruh ulama mengeluarkan fatwa ini! Ramai daripada ulama-ulama besar menahan diri daripada mengeluarkan apa-apa fatwa. 

Mereka berkata “ Jikalau ini betul-betul Mahdi, aku tidak mahu menanggung  fatwa menentangnya  diatas bahu ku”

Subhanallah! Betapa Juhayman ini telah Berjaya memperdayakan umat bahkan para ulama. Memang ketara sekali bahawa sesiapa juga akan keliru.

 Namanya Muhammad, bapanya Abdullah, dia berdiri di antara Rukun dan Maqam Ibrahim hinggakan beberapa orang ulama besar yang dihormati di abad ke 20 ini juga turut terpedaya menganggap lelaki ini MUNGKIN… ya.. MUNGKIN Al Mahdi.

Ini memang menakutkan.

Tapi kita tahu, Mahdi yang sebenar tidak akan menjadikan Makkah sebagai tebusan. Mahdi sebenar merupakan lelaki terbaik pada zamannya akan tetapi Mahdi palsu ini bukan sahaja telah menumpahkan darah di dalam Al Haram, tetapi juga di dalam bulan Muharam yang mana berperang adalah Haram didalamnya.

Putera Fahd telah mengarahkan angkatan tenteranya yang juga disertai oleh komando dari Pakistan berangkat ke sebuah tempat di Syria bernama Baida’ untuk memastikan samada ini adalah Mahdi yang sebenar ataupun bukan. Ini berdasarkan hadis nabi bahawa Allah akan tenggelamkan tentera yang menyerang Al Mahdi di Baida’.

".....Setelah itu as-Sufyani mengerahkan sebahagian tenteranya (pergi menyerang) Madinah. Mereka terus menyerang Madinah selama tiga hari lalu menuju ke Makkah. Ketika mereka sampai di al-Baidak, Allah memerintahkan Jibril supaya menghentakkan kakinya dengan sekali hentakan, yang mana dengan hentakan itu, mereka jadi terbenam ke dalam bumi sehingga tidak berbaki melainkan dua orang yang kemudian menyampaikan (perihal) peristiwa tersebut kepada as-Sufyani."

Setelah mendapati tiada apa-apa yang berlaku ke atas angkatan tentera ini ketika mereka di Baida’, rancangan menyerang kumpulan Juhayman dan mendapatkan kembali Masjidil Haram pun di rangka.

Ini pastinya bukan Mahdi yang di tunggu dan ramai ulama memberikan fatwa menentangnya dan juga fatwa membenarkan kekerasan boleh digunakan terhadap kumpulan ini juga telah turut serta dikeluarkan.

Maka pada hari ke Sembilan, angkatan Saudi merempuh pintu Masjidil haram dengan kereta kebal. Tangga yang sama kita gunakan hari ini, itu lah juga tangga dimana kereta kebal pernah lalu diatasnya pada suatu masa dahulu.

Pasukan Saudi memasuki Masjidil Haram ( Sumber gmbar dari Internet )
Dan pertempuran  benar-benar telah berlaku didalam dinding Al Haram yang sama pada hari ini.

Dan Mahdi Muhammad ibn Abdillah Al Qahtany telah mati ditembak dalam pertempuran ini membuktikan yang dia bukanlah Mahdi yang sebenarnya.


Subhanallah, semoga Allah mengasihani kita dan melindungi kita daripada fitnah ini.

Juhayman dan kumpulannya telah berlindung di bahagian bawah tanah Masjidil Haram. Hari ini jika kita daripada Kaabah dan mahu naik ke tingkat atas, betul-betul di tangga naik keatas kita akan jumpa satu lagi tangga untuk turun ke bahagian bawah tanah dan tangga ini merupakan satu-satunya laluan untuk turun ke bawah. Jadi Juhayman dan tenteranya berlindung disana dan mempunyai kelebihan taktikal kerana hanya ada satu sahaja laluan masuk, jadi sekiranya angkatan Saudi masuk mereka akan melepaskan tembakan kepada angkatan Saudi. Ini strategi Juhayman.

Sumber gambar dari Internet.
Taktik yang angkatan Saudi gunakan pula ialah mereka membakar tayar untuk melemaskan Juhayman dan tenteranya di dalam masjid dengan asap. Menurut beberapa sumber, taktik ini adalah nasihat dari penasihat ketenteraan Perancis yang mana terdapat 3 orang anggota Gerak Khas perancis turut serta di dalam pasukan Saudi. Akan tetapi kaedah ini tidak berjaya.

Sumber gambar dari Internet.
 
Penasihat Ketenteraan Perancis bersama Komander Saudi.


Ketika ini Komando Pakistan pula mengetuai operasi.Akhirnya taktik kedua yang telah membawa kejayaan kepada angkatan Saudi.  Mereka telah mengisi bahagian bawah tersebut dengan air dan telah merenjat angkatan Juhayman dengan arus elektrik.

Ramai dari mereka yang telah mati dan Juhayman sendiri beserta 70 orang lagi bersamanya telah ditangkap. Mereka telah menyerah diri dan hari ini ada video youtube mengenai mereka ini. Video dimana mereka berjalan keluar dari Masjidil haram dan juga video mereka menjalani hukuman.



Kesemua daripada mereka telah dihukum  dihadapan umum.


Aku ingin menceritakan cebisan daripada sejarah ini kepada kamu, Subhanallah ianya belum pun sampai 40 tahun lalu. Cuba fikirkan, kita lebih tahu tentang apa berlaku di Hiroshima pada 70 tahun yang lalu berbanding apa yang telah berlaku di Al Haram 38 tahun lalu.
Jadi, Ingin aku akhiri kisah ini dengan kata-kata ini, mungkin bukan mudah untuk kau terima tetapi ini merupakan satu amaran untuk kita semua.

Salah seorang dari Ulama awal bernama Sufiyan bin Unaynah. Beliau merupakan Tabi’ tabi’ut Tabi’in. Beliau pernah ditanya,

“Adakah Imam Mahdi itu di waktu ini?”

Dan soalan ini merupakan soalan yang sangat penting pada zaman kita ini kerana kita lihat ramai orang membincangkan tentang Imam Mahdi . Sebab utama aku tulis artikel ini adalah kerana aku lihat komen seseorang di dalam Facebook yang mengatakan dia tahu Imam Mahdi yang sebenar . Secara tepatnya di dalam page yang menceritakan tanda-tanda kiamat yang telah berlaku di abad ini.

Apakah jawapan  ulama ini Sufiyan bin Unaynah ini ketika  ditanya, “Adakah Imam Mahdi di waktu ini?”

Aku sangat berharap orang-orang Juhayman terfikirkan perkara ini sekali dalam hidup mereka dan aku juga ber harap kita juga merenung perkara ini secara serius.

Sheikh Sufyan Ibn Unaynah berkata,

“ Sekiranya Mahdi melintas di depan rumah kamu” dia bercakap tentang Mahdi yang sebenar

 “ Sekiranya Mahdi melintas di depan rumah kamu, kamu kuncilah pintu kamu dan jangan kamu memberi  bai’ah kamu kepada dia sehinga…….

Sehingga...

Sehingga kamu lihat orang ramai dari kaum muslimin semuanya telah mengiktiraf bahawa dia itu Mahdi! Maka ketika itu, bersama-samalah dengan orang ramai  dan berikanlah bai’ah kamu dikalangan muslimin”

Jangan kamu berseorangan.

Dalam Islam tiada Kultus atau sekte dan jangan jadi pengikut kultus atau sekte.

Kerana bahaya untuk tergelincir dan terpesong  adalah sangat besar.

InsyaAllah dalam artikel akan datang, aku akan cuba kumpulkan seberapa banyak riwayat-riwayat sahih mengenai Imam Mahdi  bagi menyanggah yang palsu. Ini kerana terdapat banyak pendapat-pendapat yang salah mengenai  lelaki ini.

Sementara itu, aku mahu bertanya, bagaimana agaknya kau mahu tentukan bahawa Muhammad bin Abdullah Al Qahtany ini Mahdi palsu? 
Mari lihat jika kau boleh tentukannya sendiri.


No comments:

Post a Comment