Kedatangan Islam ke Asia Tenggara sebenarnya tidak boleh kita pencilkan sejarahnya itu daripada sejarah Nusantara. Nusantara itu di kalangan para Sarjana ialah dunia Melayu. Islam telah berada di Nusantara sekitar abad kesembilan dan kesepuluh namun sukar untuk kita nyatakan bila umat Melayu itu secara beramai-ramai menjadi Islam. Tetapi bukti-bukti yang telah ditemui yang berdasarkan arkeologi menunjukkan Islam telah berada di dunia Melayu itu pada sekitar abad ke sembilan.
Apabila kita berbicara tentang Islam dan sejarahnya kita sebagai sebuah warganegara dalam kelompok yang disebutkan sebagai negara Malaysia, harus kita juga mengerti sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia. Professor Dr ahmat Adam menggunakan istilah Nasion dan bukan Bangsa. Bangsa Itu lain. Nasion itu merangkupi bukan sahaja orangnya, juga bahasanya, makanannya, budayanya dan agamanya. Fondasinya telah diletakkan oleh British. Nation building harus kita fahami, apa yang wujud pada hari ini adalah diasaskan oleh British. Dan tiang-tiang fondasi itu ialah bahawa Malaya (pada waktu sebelum merdeka itu) mestilah bersifat negara yang multi ethnic, Raja-raja Melayu diiktiraf kedudukannya sebagai Raja berpelembagaan, Islam adalah Agama Persekutuan (Religion of the Federation).
Berdasarkan bukti arkeologi,menurut salah seorang dari mereka itu, di Lembah Bujang telah ditemukan tembikar dan kaca dan objek bercorak Islam sekitar abad kesembilan dan kesepuluh. Batu nisan ditemui di Champa. Champa itu asalnya wilayah Kemboja tapi hari ini kerana peristiwa-peristiwa sejarah, Champa kini di bawah Vietnam. Batu nisan Fatimah binti Maimun ditemui di Jawa bertarikh abad ke-11 iaitu tahun 1082. Kemudian di Pasai utara Sumatra ditemui batu nisan Sultan Malikus Saleh, tercatat di situ tahunnya kalau dihitung dalam Masehi ialah 1297 iaitu abad ke13.
Berdasarkan sumber China dan naskah Melayu, iaitu sumber zaman Kublai Khan ada disebutkan kunjungan rombongan daripada ‘Samutura’ (Sumatera). Seorang itu bernama Husin dan seorang lagi bernama Sulaiman pada tahun 1282 dihantar ke negeri China. Ertinya pada abad ke13 itu sudah lebih ramai orang beragama Islam di Sumatera. Kemudian Hikayat raja-raja Pasai (manuskrip Melayu yang lama )menyebut kedatangan Makhdoum daripada Monggiri (ditafsirkan sebagai Bongkir) dari India bahagian timur laut. Kerana itu sebahagian daripada kerajaan Islam waktu Islam bertapak di India. Jadi bukti sejarah menunjukkan bahawa Islam berkembang secara beransur-ansur, ia tersebar sekitar abad ke-12 tetapi menjadi lebih mantap pada abad ke-14 dan abad ke-15. Ertinya abad ke-14 dan 15 itu telah lebih ramai orang di dunia Melayu itu yang memeluk agama Islam.
Berdasarkan naskhah- naskhah Melayu lama, Islam mungkin telah dibawa oleh para sufi iaitu ahli tasauf. Sumber daripada Ibn Batutah sendiri yang melawat Sumatera utara pada tahun 1345 kemudian kembali 1346 juga menunjukkan Islam sudah bertapak kukuh di Sumatera.
Bila pula islam bertapak di Malaysia?
Batu bersurat Kuala berang yang ditemui bertarikh 1326 ataupun 1386. Rekod China pula menyatakan Megat Iskandar syah telah melawat negeri China dan Megat Iskandar ini beragama Islam. Dia merupakan anak Parameswara. Dalam buku teks sejarah disekolah dinyatakan Parameswara itu beragama Islam tapi sebenarnya anaknya yang memeluk Islam. Parameswara mengasaskan melaka pada tahun 1400, dia beragama Hindu kemudian anaknya memeluk Islam dan untuk mengukuhkan keislamannya itu dia telah berkahwin dengan puteri Pasai di Sumatera. Dan di dalam kitab Sejarah Melayu sendiri disebutkan Seri Maharaja itu yang namanya Sultan Muhammad Syah dengan jelas disebutkan dia mengamalkan Islam dan dia didatangi oleh pendakwah islam dan dia bermimpi bertemu dengan nabi Muhammad saw katanya, kemudian dia diajak bersembahyang di pinggir pantai negeri Melaka itu. Dia jika mengikut sumber China namanya Seri Maharaja dan dia memerintah antara 1423 hingga 1444.
Kita juga tahu pada abad ke-15 melaka itu dikunjungi oleh pedagang pedagang Arab, pedagang Parsi, pedagang India, pedagang Habshah (Abyssinia) dan juga pedagang China. Sifatnya Melaka itu ialah kota metropolitan dan pelabuhan internasional. Orang yang datang itu bukan sahaja orang Islam tetapi juga orang Kristian historia dan orang Parsi yang beragama Majusi. Jadi Islam yang datang itu bersifat multi cultural dan international.
Tetapi Melaka sebenarnya oleh kerana makmur, sering dikacau oleh Siam. Siam memang sejak dari zaman Melaka itu sudah mempunyai niat mahu menjajah semenanjung ini sampailah ke abad ke-19. Dan melaka makmur pada zaman awalnya itu justeru kerana kedudukan strategik untuk perdagangan. Ianya terletak di tengah-tengah Selat Melaka dan orang dari Asia Barat iaitu orang Arab dan Parsi, dari India dan dari China datang bertemu di Melaka untuk bertukar barang. Melaka juga menjadi makmur kerana ia mendapat lindungan daripada raja-raja Ming iaitu raja China. Bila siam cuba mengganggu Melaka, Raja China memberi amaran, jangan ganggu Melaka. Dan pada waktu Parameswara dan anaknya memerintah, maharaja China ialah maharaja Yung lo (memerintah 1402 ke 1424) yang dikatakan beragama Islam Tetapi dia beragama Islam secara sembunyi sebab rakyat China itu beragama confucius dan menyembah roh nenek moyang, jadi dia secara sembunyi-sembunyi mengamalkan Islam. Makanannya dikhaskan yang dimasak oleh isterinya sahaja, ini menurut rekod China sendiri.
Untuk menunjukkan bahawa China itu memberi perlindungan kepada Melaka, Parameswara raja pertama Melaka mengunjungi negara China pada tahun 1411. Kemudian anaknya Megat Iskandar syah datang tiga tahun kemudian untuk memberitahu Maharaja China bahawa bapanya telah meninggal dunia. Dan kemudian daripada itu, Seri Maharaja pula mengunjungi negara China pada tahun 1424 dan 1433, dua kali dia mengunjungi China. Sultan terakhir Melaka, Mansur Syah mengunjungi China pada 1499. Ertinya hubungan Melaka dengan negeri China itu sangat rapat sekali. Raja-raja Melaka membawakan hadiah kepada raja China dan raja China membalas dengan hadiah berupa sutera, wang China dan sebagainya dan China menganggap Chinalah yang melindungi Melaka sebagai Raja Besar di wilayah Asia.
Untuk menunjukkan lagi betapa rapatnya hubungan negeri Melaka dengan China juga, kita lihat kunjungan duta Melaka, utusan-utusan diRaja dari Melaka telah pergi ke negeri China sebanyak 28 kali antara 1405 dan 1508. Semua ini berdasarkan bukti-bukti sejarah yang sudah di tapis.
Sejauh manakah Melaka berperanan sebagai pusat Islam?
Orang selalu mengatakan Melaka hebat, keagungan Islam itu terpancar dalam pemerintahan Melaka. Menurut sumber Portugis menyatakan orang Melayu Melaka memang beragama Islam. Sejarah Melayu juga menyebut bahawa kerajaan Melaka menjadi tumpuan dagang dan santri. Santri itu ialah istilah jawa yang bererti orang alim yakni golongan agama. Sejarah Melayu juga menyebutkan raja Melaka belajar ilmu tasauf dari pengajar yang digelar Maulana. Disebutkan wujudnya Masjid Raya dan raja dikatakan berterawih ada adat-adatnya. Misalnya serban dan sejadah raja akan diarak pada sebelah siang hari sebelum raja ke masjid raya pada malamnya kerana raja menyambut malam 27. Raja Melaka juga apabila tidak memahami ajaran guru-guru mereka, sultan mansur misalnya menghantar utusan ke Pasai untuk bertanyakan hal agama. Yang ditanyakan ialah, kalau seorang itu sudah mati, apakah dia kekal di syurga atau di neraka, soalan seperti itu. Dan ini mungkin dipengaruhi oleh aliran tasauf tadi.
Sultan Muhammad Syah dan Sultan Mansur Syah memang orang yang mendekati agama tetapi Sejarah Melayu tidak ada menyebutkan kewujudan sekolah pondok atau madrasah atau bagaimana anak-anak Melayu Melaka itu belajar agama. Didalam lipatan sejarah juga melihatkan Melaka tidak ada meninggalkan apa-apa karya agama dan jugak ulama-ulama. Dua-dua ini tiada. Siapa ulama besar Melaka? Ini kalau kita bandingkan dengan Acheh apabila Acheh mengambil alih kedudukan Melaka sebagai kerajaan Melayu Islam, pada abad ke-16 dan 17 dibuktikan terdapat ulama-ulama besar seperti Hamzah Fansuri, Shamsudin al Sumatrai, Nurudin ar raniri (dari Indla) dan Abdul Rauf al Singkili merupakan nama-nama besar tetapi di Melaka tidak ada. Benarkah kerajaan Melaka itu sebuah kerajaan yang Islamik?
Ditempat- tempat lain di Nusantara misalnya kita dapati ulama, orang sufi seperti Sheikh Yusof Mekasar (wafat 1699), Abdul Samad al Falimbani (1789), Sheikh Nawawi al Bantani dari Banten Jawa barat 1888, Sheikh Muhammad Hafiz al Banjari dari Banjar masin, sheikh Daud al fatani dari Pattani. dan semua ulama-ulama besar ini meninggalkan karya dan karya-karya mereka ini beredar di seluruh Nusantara termasuk di negeri-negeri di semenanjung tanah Melayu.
Selepas kejatuhan Melaka 1511, kerajaan Melaka barangkali tidak sempat untuk menjadi kerajaan Islam kerana ia hanya wujud selama 110 tahun sahaja. Penaklukan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan tradisi Islam berpindah ke Johor (lama). Tetapi kesultanan Johor iaitu sultan Mahmud lari ke Johor mati pada 1528 dan digantikan oleh anaknya Sultan Alaudin Riayat syah 2. Tetapi anaknya Alaudin cuba berdamai dengan.Portugis. Acheh yang baru naik dan cuba menampilkan imejnya sebagai sebuah kerajaan Islam sangat marah kepada raja Melayu ini kerana dikira bersubahat dengan Portugis. Maka pada tahun 1564 Johor diserang dan sultannya dilarikan ke Acheh dan dibunuh. Pada 1613 sekali lagi sultan Acheh Sultan Iskandar Muda menyerang Batu Sawar di Johor lama dan memusnahkan Johor kerana Johor berbaik-baik dengan Belanda.
Acheh yang muncul sebagai sebuah kerajaan yang baru telah menakluki Pasai pada tahun 1524. Kalau sebelum itu Pasai menjadi pusat Islam kini Acheh mengambil alih peranan tersebut. Ia muncul sebagai benteng Islam. Tetapi dibawah rajanya Alaudin Riayat Syah al Qahhar dan Iskandar Muda, Acheh menjadi kuasa yang sangat ditakuti oleh raja-raja Melayu di semenanjung. Sebabnya raja Acheh menyerang negeri Perak selepas daripada Johor. Permaisuri Perak dilarikan ke Acheh beserta puteranya dan putera itu kemudian dikahwinkan dengan anak raja Acheh dan menjadi raja Acheh dengan gelar Alaudin Mansur Syah. Dibawahnya Acheh sangat prihatin terhadap agama, dia menjadi seorang yang warak. Pada tahun 1613 Johor dimusnahkan, rajanya sultan Alaudin Riayat 3 melarikan diri. Apabila sultan melarikan diri, adiknya raja Abdullah dijadikan sultan Johor oleh sultan Acheh. Dikahwinkan dengan adik sultan Iskandar Muda dan dijadikan sultan Johor. Tetapi raja Abdullah tetap berasa tidak selamat kerana raja-raja Melayu itu sememangnya takut terhadap raja Acheh. Tahun 1617 Pahang diserang dan puteri Pahang dilarikan ke Acheh. Kemudian Iskandar muda mengahwini puteri Pahang itu. 1620 Perak dan Kedah pula diserang .Hubungan Kedah dengan Acheh memang rapat sejak dari awal lagi iaitu dari sejak Pasai lagi. Seorang puteri Kedah dikatakan berkahwin dengan Raja Pasai.
Perlu ditegaskan, bila kita meninjau sejarah tanah air, kita tidak boleh lupakan sejarah sekitarnya sebab berkesinambungan ia sampai ke zaman 1940an. Satu perkara yang orang lupa, banyak pengaruh Acheh di semenanjung ini. Ini kerana berkali-kali Acheh datang dan memerintah untuk satu tempoh yang agak lama. Tapi dia tidak menjajah seperti bangsa-bangsa lain. 1623 Pahang diserang lagi kerana rajanya ingkar perintah Acheh.
Implikasi hubungan Acheh dengan semenanjung Melayu.
Pertama yang masih perlu kajian lagi ialah pengaruh budaya, bahasa dan budaya politik. Perkataan-perkataan Acheh terdapat dalam bahasa Melayu.Contohnya perkataan Gogah digunakan oleh orang Pahang, gogah itu perkataan Acheh yang bererti kelam kabut.Struktur orang besar Perak, sebagai contoh Dato Maharaja Lela, orang tidak tahu bahawa Maharaja lela itu adalah gelar Acheh. Pembahagian seperti orang besar Empat, Orang Besar Lapan dan Orang besar enam belas merupakan pengaruh dari budaya Acheh.
Kemudian, pada sekitar period yang disebutkan tadi, ramai orang Perak yang telah dilarikan ke Acheh. Ada sekitar lima ribu orang mengikut laporan. Implikasi yang besar yang tidak disebut orang daripada ini ialah pengaruh agama Islamnya. Walaupun Acheh itu memusnah dan menjarah, tetapi kitab-kitab agama dari Acheh, ulama-ulama dari Acheh dan karya-karya mereka tersebar di semenanjung. Tarekat-tarekat yang berasal dari Acheh telah berkembang di semenanjung.
Melaka, Pulau Pinang dan Johor pada abad ke 17 hingga 18 menyaksikan raja-raja Melayu itu lemah, tidak dapat menangkis kemaraan bangsa dari eropah terutamanya dari Belanda dan Inggeris. Pada tahun 1641 Melaka diambil oleh Belanda .Kemudian pada tahun 1876 Pulau Pinang diambil dengan dibayar pampasan 6000 duit Sepanyol sahaja dari Sultan Kedah dengan janji untuk melindungi Kedah dari serangan Siam. Sultan Johor terakhir mati dibunuh oleh Megat Seri Rama iaitu Marhum mangkat dijulang Sultan Mahmud yang dalam rekod sejarah disebutkan seorang homoseksual. Dia mati pada tahun 1659. Apabila dia mati dibunuh, maka putuslah darah sultan-sultan Melaka. Kemudian Johor menerima bendahara menjadi raja.
Pada akhir abad ke17 dan 18, Bugis pula masuk dan campur tangan dalam krisis raja-raja Melayu yang lemah tadi. Di Kedah, Perak dan di Selangor . Misalnya di Selangor, raja pertamanya ialah orang Bugis iaitu Raja Lumu anak Daeng Celak. Kemudian Raja Haji menjadi Yamtuan Muda Riau menggantikan bapanya. Raja Haji juga cuba menyerang Melaka pada 1784. Dia hampir menang, tapi dia mati ditembak oleh peluru Belanda.
Apakah implikasi pengaruh Bugis? Islam tetap berkembang terutamanya di Riau kerana Bugis itu bertapak di Riau. Kalau dibaca silsilah Melayu dan Bugis, maka akan terdapat bagaimana Raja Ali Haji menceritakan Raja Ahmad di Pulau Penyengat, ulama-ulamanya menulis dan mengembangkan Islam.
Pada abad ke19, British sudah mula masuk. Kemudian kita saksikan pertumbuhan sekolah-sekolah pondok, Islam berkembang diperingkat rakyat. Keunggulan Islam ditandai dengan kemunculan beberapa nama ulama terkenal tetapi agak lambat hingga abad ke-20. Tidak ramai ulama besar diketahui sebelum itu kecuali Tokku Pulau Manis atau Sheikh Abdul Malik Abdullah yang wafat pada 1776 di Terengganu yang juga mendapat pendidikan awalnya di Acheh sebelum ke Mekah. Ulama-ulama lain di masa kemudiannya seperti Tok Kenali Tuan Guru Haji Muhammad Yusof, Tok Kemuning Sheikh Abdul Hamid, Tok Selohor atau Tuan Guru Haji Rahman Haji Osman.
Peralihan dari abad 19 ke abad 20, di Asia barat berlaku pergolakan pemikiran. Timbul gerakan Pan Islam dalam kalangan ulama dan cendekiawan Islam di Asia barat. Idea-idea reformis Jamaludin Al Afghani dan Muhammad Abduh misalnya sangat mempengaruhi inteligensia di timur tengah sana. Intelektual Rashid Rida dan majalah Al Mannar nya yang diusahakan bersama Abduh sangat kritikal terhadap Khalifah yang dikatakan pada zaman kemudiannya adalah zalim. Reformis Islam juga menggesa perubahan umat melalui pendidikan. Jamaludin Afghani mengajarkan, untuk menentang kolonialisme atau penjajahan, maka pendidikanlah alat untuk memajukan dan memodenkan umat Islam itu.
British mempunyai muslihat untuk membendung pengaruh Pan Islam Modernis ini dengan melaksanakan undang-undang penerbitan. Pada awal abad ke-20, tahun 20an ke 30an, pengaruh dari timur tengah ini, yang menampilkan apa yang disebut sebagai kaum Muda. Kaum Muda ertinya golongan yang mahukan umat Islam itu diberikan pemodenan dari segi pendidikan , diberikan pemahaman jelas mengenai agamanya, membasmi kekolotan iaitu seperti yang ditanggapi oleh golongan Kaum Tua. Ulama-ulama melayu yang terpengaruh itu seperti Sheikh Ahmad Khatib orang Minagkabau di Mekah, dia seorang anti adat, Sheikh Tahir Jalaludin yang kemudiannya melancarkan surat khabar Al Imam, Sheikh Ahmad Al Hadi, Haji Abbas Taha , Sheikh Muhamad Salim dari Acheh dan beberapa lagi. Surat khabar yang paling penting adalah Al Imam, Neracha, Saudara Al Ikhwan, Suara Benar dan warta Malaya. Datangnya editor-editor dari Indonesia ke negeri-negeri selat menyaksikan sekali lagi pengaruh dari seberang itu berterusan untuk memajukan pemikiran Islam di tanah melayu.
Akibat daripada pengaruh-pengaruh ini maka tumbuhlah beberapa Madrasah yang terkenal pada abad ke-20 seperti Madrasah Al Mashoor, Madrasah Al Hadi, madrasah al Idrisiah, Maahad al Ihya As Sharif gunung semanggol dan sekolah Diniyah Padang Rengas yang berasaskan Madrasah Diniyah Padang Panjang. Dan bangkitnya kesedaran pelajar-pelajar untuk menuntut, mereka ini pergi ke India dan Timur Tengah juga ke Sumatera Barat termasuk Burhanudin Al Hilmy, Aisha Ghani, Keris Mas dan Shamsiah Fakeh . Kemudian gerakan radikal Minangkabau mempengaruhi gerakan kiri di Semenanjung. Lahir pada tahun 1945 dengan pengaruh dari Indonesia ini iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan disokong oleh pelajar-pelajar Madrasah
Selepas itu, di Mesir sendiri terbit Suara Al Azhar yang menanamkan semangat fahaman Melayu Raya iaitu penyatuan Indonesia-Malaysia. Lahirnya gagasan Politik Islam di Minangkabau iaitu Persatuan Muslimin Indonesia. Di Malaya pada tahun 1948, akibat daripada pengaruh Kaum Muda lahir Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin berpendirian anti kolonial dan anti feudal sehinggakan Dato Onn mengungkapkan kata-kata ‘Bahaya dari Gunung Semanggol’. Pada pertengahan 1948, Hizbul Muslimin diharamkan oleh British dengan alasan Hizbul Muslimin berkomplot dengan Komunis dan Ustaz Abu Bakar Al Bakir ketua umum Hizbul Muslimin merupakan antara tujuh orang yang ditahan.
Sebenarnya, pengaruh kaum Muda itu juga menanamkan semangat untuk menubuhkan kesatuan ulama dan ini dicetuskan oleh Syed Sheikh Al Hadi. Syed Sheikh Al Hadi ini seorang yang sangat berjasa kepada Islam moden . Dia seorang reformis yang bergerak di Riau, Singapura, di Melaka dan Pulau Pinang. Pada Ogos 1951 apabila Hizbul Muslimin telah diharamkan, sekumpulan Ulama telah bersidang di Sulaiman Club Kampung Baru untuk mendirikan sebuah Persatuan Ulama. Pada bulan November persatuan itu bertukar nama menjadi sebuah parti Politik iaitu Persatuan Islam se Malaya.
No comments:
Post a Comment