Pengenalan
1.1 Isu Semasa
Dengan pertumbuhan pesat pembinaan masjid
dan fungsinya dalam masyarakat Islam di Malaysia, keselesaan jemaah adalah
menjadi satu kebimbangan utama. Keselesaan haba yang tidak sesuai dalam
bangunan masjid membawa kepada persekitaran terma yang tidak selesa bagi jemaah
(Hussin, Salleh, Chan, & Mat, 2014). Ia telah menjadi amalan biasa bahawa
masjid-masjid di Malaysia perlu dilengkapi dengan sistem penyaman udara untuk
memberi keselesaan kepada jemaah. Walau bagaimanapun, kurangnya kajian dan
maklumat mengenai tahap keselesaan ruang solat di masjid di Malaysia
menyukarkan penambahbaikan dilakukan (Hussin et al., 2014). Peningkatan
penggunaan penyaman udara di bangunan masjid di Malaysia nampaknya memberi
kesan peningkatan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi masjid setiap hari
(Hussin et al., 2014).
Bangunan masjid sebaiknya perlu mempunyai
elemen penyatuan dengan unsur alam kerana masjid berfungsi sebagai wadah dalam
bersujud/sembahyang kepada Allah SWT yang menciptakan alam semesta ini
(Imriyanti, 2013). Di seluruh dunia, masjid adalah tempat ibadat yang sangat
bersih, di mana karpet digunakan di keseluruhan ruang solat utama dari dinding
ke pintu masuk. Semasa waktu-waktu tertentu seperti ketika ibadat solat jumaat
dan solat sunat terawih, masjid-masjid sering dipenuhi oleh Jemaah sehingga
kepadatannya melebihi 1.5 orang bagi satu meter persegi (Ocak, Kiliçvuran,
Eren, Sofuoglu, & Sofuoglu, 2012).
Semestinya pada situasi tersebut, kualiti
pengudaraan akan terjejas dan pendekatan pengudaraan semulajadi mampu
menyelesaikan masalah ketidakselesaan ruang dalaman, penggunaan tenaga yang
tinggi bagi penyaman udara dan kualiti udara yang tidak baik (IAQ) (Fung &
Lee, 2014). Penggunaan kaedah pasif seperti pengudaraan semulajadi adalah salah
satu kaedah berkesan untuk penyesuaian suhu dalaman di dalam bangunan masjid di
kawasan tropika seperti Malaysia (Aflaki, Mahyuddin, Al-Cheikh Mahmoud, &
Baharum, 2015).
Bagi mengukuhkan isu ini, satu kajian yang
telah dijalankan berjaya membuktikan bacaan CO² yang tinggi yang menggambarkan
bahawa pengudaraan di dalam masjid adalah tidak mencukupi terutama ketika waktu
solat jumaat (Ocak et al., 2012). Oleh itu, pengudaraan yang lebih baik adalah
sangat diperlukan bagi bangunan masjid (Ocak et al., 2012). Pengudaraan semulajadi
dapat memenuhi faktor kesihatan dan keselesaan terma seperti oksigen yang
mencukupi, tahap CO² yang rendah, tiada asap dan gas-gas berbahaya, pencegahan
bakteria dan bau (Imriyanti, 2013). Keperluan untuk keselesaan haba juga adalah
termasuk pemindahan haba keluar dari ruang solat bagi membantu penyejatan peluh
daripada penyejukan struktur bangunan (Imriyanti, 2013).
Diantara faktor penting yang harus
diintegrasikan ke dalam rekabentuk masjid oleh Arkitek di Malaysia ialah
penggunaan lohong pengudaraan (ventilation shaft), ratio bukaan pada
dinding (opening-to-wall-ratio)
dan orentasi bangunan (building orientation) bagi menghasilkan satu reka bentuk
yang respon kepada keadaan iklim setempat (Aflaki et al., 2015).
1.2 Faktor
Keselesaan Terma Dalaman & Pemakaian
Tidak dinafikan sama sekali bahawa
keselesaan terma dalaman di dalam masjid memainkan peranan besar dalam membantu
penghayatan ibadah yang dilakukan. Menurut kajian yang telah dijalankan keatas
396 orang jemaah di masjid-masjid berpenyaman udara, suhu operasi yang boleh
diterima oleh jemaah di Malaysia ialah sekitar 26.99 ˚C sehingga 31.41 ˚C
(Hussin et al., 2014). Jika dilihat nilai suhu yang disebutkan tadi, ianya
tidaklah terlalu rendah yang mana boleh dicapai melalui kaedah semulajadi di
Malaysia. Salah satu faktor yang membantu penyesuaian suhu dalaman dan
keselesaan Jemaah adalah gaya pemakaian Jemaah itu sendiri. Rata-rata jemaah
yang hadir ke masjid mengenakan pakaian ringan seperti baju melayu dan kain
sarung yang diperbuat dari kain kapas iaitu sebanyak 59.1% ketika solat Subuh,
43.9% bagi waktu Maghrib dan 40.9% bagi waktu Isyak (Hussin et al.,
2014). Dapat disimpulkan disini bahawa cara pemakaian tidak menjadi isu besar
dalam menentukan keselesaan jemaah.
Kajian yang dilakukan oleh Husin et al.
(2014) menyimpulkan bahawa tahap keselesaan di dalam masjid-masjid berpenyaman
udara adalah baik iaitu melepasi tahap yang ditetapkan di dalam ASHRAE Standard-55
(2013). Hanya sebahagian kecil iaitu 9.1% sehingga 15.2% Jemaah sahaja yang
merasa sedikit panas (a bit warm) ketika berada di dalam masjid-masjid yang
dikaji. Nilai tersebut adalah kecil dan berkemungkinan berlaku
atas faktor luaran yang lain.
1.3 Kos Penggunaan
Tenaga Bagi Masjid Berpenyaman Udara
Isu sebenar yang perlu diberi perhatian berkaitan
masjid di Malaysia ialah kos penggunaan tenaga yang tinggi dan tidak ekonomi.
Satu kajian perbandingan yang telah dilakukan menemukan bahawa bangunan yang
berpenyaman udara menggunakan 66% lebih tenaga berbanding bangunan tanpa
penyaman udara (Mohd Sahabuddin & Gonzalez-Longo, 2015). Manakala kajian
oleh Saidur (2009) menemukan bahawa rata-rata bangunan di Malaysia menggunakan
57% tenaga dalam operasi sistem penyaman udara iaitu lebih tinggi berbanding
Indonesia (51%), Arab Saudi (50%), Sepanyol (52%) dan Amerika Syarikat (48%)
(Hussin et al., 2014).
Bagi bangunan masjid, fungsi dan tempoh
penggunaan adalah berbeza berbanding bangunan-bangunan lain kerana
penggunaannya tertumpu semasa waktu solat dan kelas-kelas agama sahaja.
Mengikut satu kajian, kos bil elektrik bagi bulan-bulan selain Ramadhan
berpurata RM3,000 sebulan manakala pada bulan Ramadhan ianya meningkat hampir
sekali ganda iaitu RM6,000 sebulan (Hussin et al., 2014). Secara pukal, dalam
setahun sebuah masjid memerlukan bajet perbelanjaan sebanyak RM40,000 bagi
menampung penggunaan elektrik untuk sistem penyaman udara. Ini tidak termasuk kos penggunaan tenaga bagi pencahayaan tiruan (artificial lighting),
penyelenggaraan dan peralatan lainnya. Nilai ini juga bergantung kepada saiz
sesebuah masjid dan bilangan unit penyaman udara yang dipasang. Secara
logiknya, kos perbelanjaan akan meningkat seiring dengan keluasan ruang
berpenyaman udara dan jumlah unit penyaman udara yang digunakan.
Kesan kos ini dialami secara langsung oleh
tabung kewangan masjid namun kesan yang lebih utama yang tidak dilihat dan
dirasai oleh jemaah adalah kesan kepada alam sekitar. Kepesatan pembangunan dan
pertambahan populasi menjadikan pembinaan masjid tumbuh bagai cendawan selepas
hujan. Jika dikira faktor pembebasan CO2 bagi setiap unit penyaman udara yang
digunakan, jumlah pembebasan CO2 yang bakal dijana ke ruang udara oleh semua masjid-masjid ini amat
merisaukan. Seharusnya pusat ibadah ini menyumbang kepada keharmonian sejagat
secara keseluruhannya bukan tertumpu kepada keselesaan jemaah sahaja.
1.4 Masjid
Sebagai Simbol Kesederhanaan
Masjid sebagai pusat ibadah kepada Tuhan
Yang Maha Esa dan pusat kemasyarakatan seharusnya disulami dengan elemen-elemen
semulajadi (Imriyanti, 2013). Ajaran Islam yang menganjurkan umatnya
meminimumkan kemusnahan alam sekitar, mengelak pembaziran dan menjaga kesihatan
perlu menjadi doktrin utama jemaah dan masyarakat sekeliling. Penghayatan
ajaran Islam adalah menyeluruh bukan sahaja tertumpu kepada ibadah semata-mata
malah menjaga persekitaran alam sekeliling merupakan tuntutan yang harus diberi
penekanan.
Konsep masjid yang lestari bukanlah konsep
yang asing di Malaysia. Rata-rata pembinaan masjid di Malaysia sejak kedatangan
Islam ke Nusantara sudah bersifat lestari dan mapan. Masjid-masjid didirikan
dengan menerapkan elemen ‘sains kuno’ rumah tradisional Melayu yang amat cocok
dengan iklim setempat.
Keselesaan tidak menjadi isu besar di kalangan jemaah
pada waktu itu. Masjid-masjid dibina menggunakan bahan binaan ringan yang tidak
menyerap haba malah reka bentuknya yang responsif kepada iklim setempat
membantu menstabilkan keselesaan terma (Mohd Sahabuddin & Gonzalez-Longo,
2015). Sebagai contoh, reka bentuk masjid-masjid tertua di Malaysia iaitu
Masjid Tengkera di Melaka (1728), Masjid Kampung Laut di Kelantan (1730an) dan
Masjid Pengkalan Kakap di Kedah (1800an) yang mengadaptasikan elemen-elemen
lestari kedalam reka bentuknya sejak dahulu lagi. Persoalannya, dimana
hilangnya identiti dan sains kuno ini?
Terdapat dua aspek umum yang mempengaruhi
transformasi seni bina masjid; pertama adalah keterbukaan kepada pengaruh luar
dan responsif kepada faktor-faktor luaran – sama ada alam sekitar, budaya dan
sejarah (Shah, Arbi, & Inangda, 2014). Jika dibandingkan dengan reka bentuk
masjid-masjid bertaraf ikonik yang direka oleh Arkitek di Malaysia sejak
akhir-akhir ini; ianya bukan sahaja gagal menepati konsep reka bentuk setempat
malah menjauhi ajaran kesederhanaan dalam Islam yang menyumbang kepada
pembaziran yang ketara terutama dalam kos operasi seharian masjid tersebut.
Masjid Quba merupakan masjid pertama yang
dibina oleh Rasulullah S.A.W. pada 8 Rabiul Awwal 1 Hijrah. Masjid ini
didirikan tanpa menara (minaret) dan sangat sederhana pembinaannya. Ianya
dibina atas dasar ketakwaan seperti Firman Allah S.W.T pada Ayat 108 Surah
At-Taubah yang bermaksud:
“Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu
selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid
Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang
yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang
bersih.”
Jelaslah masjid sebenarnya dibina untuk
manusia membersihkan diri – fizikal dan spiritual (jiwa). Kesenibinaan
memainkan peranan yang penting dalam membantu manusia menikmati proses
pembersihan jiwa tersebut. Persoalannya; yang mana satukah senibina masjid yang
lebih memberi kesan kepada pembersihan jiwa? Diantara masjid mewah yang
tersergam indah dan masjid sederhana yang penuh dengan elemen perhubungan
dengan alam sekeliling? Yang mana satu melambangkan ketakwaan?
1.5 Masjid
Negara Sebagai Model Masjid Lestari
Masjid Negara, Kuala Lumpur merupakan
satu-satunya masjid bertaraf ikonik yang boleh dijadikan model contoh senibina
masjid di rantau ini. Siap dibina pada tahun 1963, masjid ini mempunyai reka
bentuk yang sederhana malah penuh dengan ciri-ciri kelestarian pasif seperti
penerapan elemen pengudaraan dan pencahayaan semulajadi yang sangat baik.
Masjid ini juga mempunyai ketulenan identiti yang melambangkan keberadaannya di
tengah-tengah kotaraya di sebuah negara Nusantara. Mempraktikkan tiga (3)
elemen alam yang asas iaitu udara, air dan cahaya menjadikan masjid ini satu
binaan yang mapan dari perubahan iklim semasa dan pemanasan global (global warming).
Tiga (3) elemen tersebut diintegrasikan menggunakan beberapa komponen seperti
panel dinding tembus bercorak geometri yang dapat membantu membawa pengudaraan
dan pencahayaan ke dalam ruang solat selain elemen air dan courtyard yang
dapat menyejukkan keseluruhan ruang solat. Kemasan yang bersifat setempat
seperti jubin granite juga dapat membantu menyejukkan suhu permukaan
lantai.
Darisegi bentuk (form)
binaan pula, masjid ini dipecahkan kepada beberapa zon yang berbentuk linear tidak
seperti masjid-masjid ikonik yang lain yang dibina bulky dan padat. Konsep ini
membantu meningkatkan kualiti pengudaraan dan pencahayaan yang baik. Hanya di
sebahagian kecil ruang masjid iaitu dewan solat utama yang telah ditukar
menjadi ruang berpenyaman udara, namun sebahagian besarnya masih mengekalkan
konsep asal. Tidak hairanlah masjid ini sering dikunjungi oleh pelancong luar
dan dalam negara kerana keunikannya yang tidak dapat ditemui di tempat lain.
Seharusnya masjid-masjid di Malaysia menerapkan pendekatan yang sama seperti
Masjid Negara.
1.6 Kesimpulan dan
Perbincangan
Menurut Shah et al. (2014),
evolusi senibina masjid di Malaysia terbahagi kepada tiga (3) peringkat utama
iaitu peringkat Morphology, peringkat Technology dan peringkat Design Articulation.
Peringkat Morphology
mencerminkan reka bentuk yang mengutamakan susunan ruang asas dan
bentuk bumbung. Contoh terbaik peringkat ini ialah Masjid Tengkera, Masjid
Kampung Laut dan Masjid Pengkalan Kakap yang dibina diantara tahun 1700 – 1800.
Bagi peringkat 2 iaitu Technology pula contoh terbaik adalah Masjid Jamek Kuala
Lumpur, Masjid Kapitan Keling, Masjid Ubudiah dan Masjid Sultan Ibrahim yang
dibina sekitar 1900 – 1950. Peringkat ini masjid-masjid dibina dengan memberi
penekanan kepada bahan binaan bangunan dan kaedah pembinaan. Dan akhir sekali
peringkat 3, Design Articulation yang sesuai digambarkan seperti Masjid
Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin yang
dibina dari 1960 sehingga 2010. Peringkat ini memberi keutamaan reka bentuk
yang mencerminkan bahasa perhiasan (decorative) dan impak visual.
Jadi, dimanakah evolusi ini akan berkembang?
Adakah ianya akan kembali ke sebuah masjid yang mementingkan fungsi dalam
pembersihan jiwa atau semakin jauh menjadi sebuah masjid yang mementingkan
impak visual semata-mata? Konsep kesederhanaan dan kelestarian dapat dilihat
dengan jelas pada peringkat 1, masjid dibina berlandaskan perhubungan di antara
manusia dan Pencipta. Namun tren semasa yang dapat dilihat, terutama kepada
masjid-masjid ikonik yang dibina, konsep kesederhanaan dan kelestarian semakin
pudar dan dipinggirkan. Jadi, untuk menghasilkan sebuah masjid moden yang
mengekalkan elemen interaksi alam sekeliling adalah tidak mustahil. Oleh itu,
bagi mengembalikan tujuan asal masjid, setiap yang terlibat dalam proses
pembinaan sesebuah masjid harus memahami tujuan asal dan fungsi utama masjid
itu sendiri sebagai sebuah rumah ibadat untuk membersihkan diri fizikal dan
spritual. Kemewahan dan kecantikan bukanlah matlamat sebenar.
1.7 Bahan Rujukan
[1] Aflaki, A., Mahyuddin, N., Al-Cheikh Mahmoud, Z.,
& Baharum, M. R. (2015). A review
on natural ventilation applications through building fa??ade components and
ventilation openings in tropical climates. Energy and Buildings, 101,
153–162. http://doi.org/10.1016/j.enbuild.2015.04.033
[2] Fung, Y. W., & Lee, W. L. (2014).
Identifying the most influential parameter affecting natural ventilation
performance in high-rise high-density residential buildings. Indoor and Built
Environment , 24(6), 803–812. http://doi.org/10.1177/1420326X14536189
[3] Hussin, A., Salleh, E., Chan, H. Y., & Mat, S.
(2014). Thermal Comfort during daily prayer times in an
Air-Conditioned Mosque in Malaysia. Proceedings of 8th Windsor Conference: Counting the
Cost of Comfort in a Changing World, (April), 10–13.
[4] Imriyanti. (2013). Mosque Architecture as a
Sustainable Building in Urban ( Case Study : Al Markas Al
Islamic Mosque Makassar ). Journal of Islamic Architecture, 2(4).
[5] Mohd Sahabuddin, M. F., & Gonzalez-Longo, C.
(2015). Traditional values and their adaptation in social
housing design: Towards a new typology and establishment of “Air House”
standard in Malaysia. Archnet-IJAR, 9(2),
31–44.
[6] Ocak, Y., Kiliçvuran, A., Eren, A. B., Sofuoglu,
A., & Sofuoglu, S. C. (2012). Exposure
to particulate matter in a mosque. Atmospheric Environment, 56(September),
169–176. http://doi.org/10.1016/j.atmosenv.2012.04.007
[7] Shah, M. A., Arbi, E., & Inangda, N. (2014).
Transformation of Mosque Architecture in Malaysia : Proceeding of the International
Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization iCasic 2014, 2014(March),
54–64.
CATATAN: Ditulis oleh Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin,
Arkitek dan Pembantu Penyelidik di Bahagian Teknologi & Inovasi Seni Bina
(BTISB), Cawangan Arkitek, Ibu Pejabat JKR Malaysia
No comments:
Post a Comment